MAIWP Labuan rancang sesi Town Hall bersama pemimpin masyarakat dan NGO
CENDERAHATI….. Md Fadzli (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Bashir sempena kunjungan hormat tersebut.
LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (MAIWP) Labuan merancang untuk mengadakan sesi Town Hall bersama pemimpin masyarakat dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang akan diadakan dalam waktu terdekat.
Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md Fadzli Md Saad berkata, sesi town hall itu bertujuan utntuk memberikan peluang kepada pemimpin masyarakat seperti ketua-ketua kampung, pemimpin Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengetahui peranan yang dimainkan oleh MAIWP khususnya berkaitan bantuan yang disediakan oleh MAIWP.
“Melalui Town Hall ini juga mereka berpeluang untuk mendapatkan maklumat sebenar fungsi dan peranan MAIWP dalam menyalurkan agihan wang zakat melalui pelbagai skim bantuan yang disediakan oleh MAIWP” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Kunjungan Hormat bersama Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias selepas beliau dilantik sebagai Pengurus MAIWP Labuan yang baharu.
Pertemuan yang turut dihadiri oleh beberapa pegawai MAIWP itu berlangsung di Tingkat 4 Wisma Perbandanan Labuan pada Khamis.
Sementara itu, Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan menyambut baik cadangan tersebut.
Ini kerana katanya, sebahagian besar pemimpin masyarakat terutama ketua-ketua kampung dan pemimpin Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) merupakan pemimpin baharu yang dilantik dan sudah pasti mereka memerlukan maklumat yang lebih jelas untuk disampaikan kepada masyarakat akar umbi.
“Kita harap dengan adanya program Town Hall itu, ia bukan sahaja membantu pemimpin masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai peranan MAIWP tetapi juga mereka dapat mengutarakan pandangan dan cadangan yang boleh dikongsi bersama dan sekaligus program ini merapatkan lagi hubungan silaturahim pemimpin masyarakat dengan MAIWP Labuan” katanya.
Pada kunjungan itu, Ustaz Md Fadzli turut menyampaikan maklumat secara singkas mengenai operasi dan pentadbiran MAIWP dalam membantu golongan asnaf di pulau ini.