32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Lelaki maut tertembak diri sendiri

Oleh: Aduka Jasnin Suman

RANAU: Seorang lelaki tempatan maut dipercayai tertembak diri sendiri dalam kejadian di sebuah kebun dekat Kampung Togis di sini pada malam Ahad lepas.

Mangsa berumur lingkungan 40an, ditemukan anaknya di sekitar kebun mereka dalam keadaan berlumuran darah sebelum dikejarkan ke Hospital Ranau, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton, berkata pihaknya telah menerima laporan dibuat anak lelaki mangsa yang tampil di Ibu Pejabat Polis Ranau kira-kira jam 2.09 petang pada Isnin berhubung kejadian itu.

DSP Sammy Newton

“Menurut anak mangsa, bapanya telah meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian belakang pinggang apabila senapang dipercayai jenis bakakuk telah tertembak dirinya sendiri selepas mangsa tergelincir ketika berjalan.

“Siasatan awal mendapati, pada 08 Mac, jam 3 petang, mangsa telah keluar ke kebunnya di Kg.Togis seorang diri dipercayai untuk tujuan berburu.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 8.50 malam, mangsa dikatakan telah menghubungi salah seorang anak lelakinya dan memberitahu bahawa mangsa telah tertembak dirinya sendiri.

“Anak mangsa yang mendapat panggilan tersebut bergegas ke lokasi dan menjumpai mangsa dalam keadaan cedera parah,” katanya.

Menurut beliau, dalam kejadian itu pihak polis juga telah merampas selaras senapang jenis bakakuk, satu (1) butir kelongsong peluru, tiga (3) butir peluru hidup dan beberapa barang milik mangsa di tempat kejadian.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Mohd Hafiez Ramlan di talian 013 9325859.

Sekadar gambar hiasan

Sementara itu, DSP Sammy turut menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan, memiliki atau menyimpan senjatapi buatan sendiri atau peluru tanpa lesen.

“Sesiapa yang didapati memiliki atau membawa senjatapi atau peluru tanpa lesen atau permit, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua – duanya di bawah seksyen 8 (a) akta senjata 1960 (akta 206),” jelasnya.- TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN