Fadillah mendengar taklimat daripada petugas.
KOTA KINABALU : Seramai 60,434 pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bakal menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dan efisyen.
Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia adalah hasil pelaksanaan tujuh projek tenaga oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan nilai keseluruhan lebih RM 260, 747,713.39.
“Pada hari ini, kita mengadakan sesi penyerahan tujuh projek sektor tenaga semasa kunjungan PETRA Skuad Sabah 2025 ke Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Kota Kinabalu (KKBU) yang merupakan salah satu projek penting di bawah Pasukan Projek Bekalan Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES).
“Projek ini melibatkan naik taraf pencawang sambungan talian grid baru dan sistem peraturan keselamatan bekalan elektrik merangkumi Tanjung Aru hingga ke Ranau, Batu Sapi dan juga Labuan.
“Projek yang pertama adalah PMU KKBU yang memanfaatkan 11,452 pengguna di kawasan Tanjung Aru dan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
“Enam lagi projek di bawah POKNES yang berjaya disiapkan adalah Sambungtara 132kV Labuan – Sipitang bernilai RM34. 92 juta, PPU 33/11kV Ranau bernilai RM31.3 juta dan PPU Batu Sapi RM30.02 juta yang memberi manfaat kepada kira-kira 4,744 pengguna.
“Projek Protection On-Line Monitoring pula melibatkan kerja-kerja komunikasi dan penaiktarafan geganti perlindungan dengan kos sebanyak RM42 juta dan Projek PMU 132/33/11kV Universiti Malaysia Sabah (UMS) bernilai RM50.011 juta.
“Akhir sekali, Sistem Pengukuhan 11kV Labuan yang bernilai RM6.3 juta yang telah siap pada 9 November 2024,” ujarnya kepada selepas Majlis Penyerahan Projek Sempena Skaud PETRA yang diadakan di PMU Kota Kinabalu, pada Isnin.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air juga berkata pelaksanaan projek-projek PETRA menerusi PPKBES telah memperkukuh infrastruktur penghantaran dan pembahagian elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan PETRA akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memastikan semua projek yang berjalan seperti yang dirancang.
“Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan kesejahteraan rakyat.
“Kita akan memastikan bekalan tenaga di Sabah khususnya dapat ditingkatkan bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga untuk negeri ini bagi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Ketua Setiausaha (KSU) PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli, Timbalan KSU PETRA (Air), Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ahemad Sade./PENERANGAN–



