Peserta bengkel asas seni lakon
BARU-BARU INI telah berlangsung 2In1 Workshop yang diadakan di NDV Café, Inanam, Kota Kinabalu selama 2 hari yang dianjurkan oleh Vie Jimmy. Penyertaan yang melebihi 30 orang peserta daripada pelbagai pelusuk daerah di Sabah amatlah memberangsangkan.
“Seperti yang diketahui bahawa pekerjaan di bawah bidang seni kreatif iaitu bidang lakonan mahupun sebagai seorang penulis skrip bukannya senang. Sebenarnya tidak mudah untuk menzahirkan lakonan berjiwa dan boleh dirasai oleh penonton. Matlamat saya sebenarnya bukan hanya berkongsi ilmu dengan para peserta mendalami seni kreatif dalam memahami dan mendalaminya tetapi juga ini sebagai platform kepada semua peserta untuk dinilai oleh tenaga pengajar akan bakat masing-masing, peluang untuk diambil berlakon di dalam karya akan datang mereka nanti” menurut Vie Jimmy.
Marc Abas dan Vie Jimmy (Penganjur)
Seramai 40 orang peserta telah mendaftar untuk menyertai bengkel tersebut dan di antaranya adalah peserta yang berasal daripada Lawas, Sarawak. Para peserta menzahirkan rasa sangat berpuas hati bila dapat menyertai dan belajar daripada pengarah-pengarah yang sangat HEBAT dan berpengalaman di dalam bidang seni kreatif.
Di dalam bengkel penulisan skrip yang dikendalikan oleh Tony Francis Gitom (FDAM) antara tugasan yang perlu disiapkan oleh semua peserta adalah menzahirkan cerita masing-masing dalam bentuk skrip lingkungan 100 patah perkataan. Vie tidak menafikan bahawa Tony Francis Gitom (FDAM) telah memberikan perkongsian ilmu dan idea yang terbaik kepada semua peserta. Ia pasti suatu pengalaman yang berbeza bila peserta mendapat ilmu daripada pengarah yang sudah terlibat di dalam bidang seni lebih daripada tiga dekad. Bengkel Penulisan Skrip tidak terhenti pada hari tersebut sahaja, Tony Francis Gitom telah meminta Vie Jimmy untuk mengadakan satu sesi pertemuan lagi bersama dengan semua peserta melalui platform Google Meet bagi berkongsi ilmu dan idea yang akan diadakan secepat yang mungkin.
Manakala Bengkel Asas Seni Lakon yang dikendalikan oleh Marcellus Abas atau lebih dikenali sebagai Marc Abas juga dihadiri oleh beberapa pelakon utama dalam telemovie Silence Of The 177 seperti Aj Feezley, Iko, Che Chi dan Christ Kent bagi berkongsi ilmu dan pengalaman selama menjadi seorang artis seni kreatif. Pendekatan Marc Abas kepada semua peserta amat berbeza, beliau berkongsi ilmu dengan peserta berdasarkan apa yang beliau praktikkan dan sendiri belajar melalui pengalaman. Sesi praktikal juga dijalankan terhadap semua peserta. Setiap peserta berpeluang menzahirkan rasa dan bakat melalui lakonan di depan peserta yang lain. Tujuan sesi praktikal tersebut diadakan adalah bagi meneroka bakat, emosi dan intonasi serta penhayatan yang ada di dalam diri masing-masing, menurut Marc Abas. Peserta termuda iaitu Adik Issabell Evenangel Keiru yang baru berumur sembilan tahun merupakan salah satu peserta daripada semua peserta yang dipuji oleh Marc Abas kerana mempunyai bakat tersendiri dan pastinya akan pergi jauh lagi sekiranya bakat beliau diasah.
Noemi memberi cenderahati kepada Tony Francis Gitom (FDAM)
Menurut Vie, setiap peserta perlu pandai mencari peluang yang ada untuk menghargai bakat dan untuk terus bertahan dan menyimpan rasa keyakinan diri sekiranya benar-benar serius untuk membabitkan diri di dalam bidang seni kreatif. Ini kerana ada orang yang ada ilmu dan isi tetapi kolam rasanya hambar. Setiap pelakon perlu faham tentang apa itu kolam rasa dan proses untuk menjadi seorang insan seni kreatif.
“Saya amat berharap agar lebih banyak legasi baru yang akan lahir melalui pendekatan yang saya anjurkan iaitu 2In1 Workshop, semua peserta berpeluang menimba ilmu daripada pengarah-pengarah yang tidak dinafikan lagi akan pengalaman dan pencapaian yang telah dirangkul oleh kedua-dua tenaga pengajar iaitu Tony Francis Gitom (FDAM) dan Marcellus Abas @ Marc Abas. Saya juga amat berharap agar melalui pendekatan bengkel ini akan membuka minda semua peserta bagi memartabatkan lagi industri seni kreatif tempatan Sabah di mata dunia khususnya” kata Vie Jimmy, penganjur bengkel.
Sebenarnya, potensi orang tidak kira umur ketika ini dalam pembangunan media sosial seperti You Tube danTik Tok juga sudah menjadi salah satu kerjaya yang menghasilkan pendapatan sekarang, selain daripada menghasilkan karya berbentuk drama atau telemovie untuk cetakan DVD atau siaran RTM dan TV Swasta. Oleh itu, bengkel ini juga bertujuan memberi peluang kepada para peserta mendapat ilmu lebih lagi di dalam bidang penghasilan idea, teknik lakonan dan pengarahan.
Akhir kata, Vie amat berterima kasih kepada kedua-dua tenaga pengajar iaitu Tony Francis Gitom (FDAM) dan Marcellus Abas @ Marc Abas berserta pelakon-pelakon utama daripada Silent Of The 177 yang hadir bagi menjayakan bengkel yang dianjurkan oleh beliau. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah memilih untuk mengikuti bengkel kerana jarang ada bengkel yang akan diadakan dalam dua modus yang berbeza tetapi di dalam satu bumbung yang sama iaitu Seni Kreatif (Penulisan Skrip dan juga Lakonan) Beliau memaklumkan bahawa sekiranya ada dari mana-mana jabatan kerajaan mahupun swasta atau persatuan atau individu-individu tertentu yang ingin meminta khidmat nasihat untuk penganjuran apa-apa bengkel berkaitan boleh menghubungi beliau di nombor 01133980168.
Vie juga memaklumkan akan mengadakan dua lagi bengkel dalam tahun ini iaitu Bengkel Penjurian Unduk Ngadau/Ratu Cantik, Bengkel Sound Sistem dan Bengkel Pengolahan Videografi untuk tujuan komersil (bagi mendapatkan ‘intro’ dan ‘content’ video yang mampu menarik ramai orang untuk menontonya).