Rina
KOTA KINABALU:Seramai 18,752 penerima di Kota Kinabalu menerima pelbagai bentuk bantuan di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) setakat Jun 2026, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal berkata kementeriannya melalui JPKA menyediakan lapan skim bantuan kebajikan dengan jumlah penerima yang berbeza mengikut kategori kelayakan.
Beliau berkata penerima Skim Bantuan Am (SBAM) mencatat jumlah tertinggi iaitu 6,489 orang, diikuti Bantuan Warga Emas (BWE) seramai 7,196 orang.
Selain itu, Bantuan Kanak-Kanak (BKK) disalurkan kepada 1,402 penerima, manakala Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Terlantar, Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar (BPT) melibatkan 1,538 penerima.
“Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) pula memanfaatkan 910 penerima, Skim Bantuan Anak Yatim (SBAY) seramai 640 penerima, Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) melibatkan 569 penerima, manakala Bantuan Anak Pelihara (BAP) disalurkan kepada lapan penerima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Puan Grace Lee Li Mei (ADUN Dilantik) yang meminta jumlah ketua isi rumah (KIR) di bawah kategori miskin bandar di Kota Kinabalu yang menerima bantuan bulanan JPKA setakat 2026 serta sama ada kerajaan bercadang menaikkan kadar bantuan selaras dengan peningkatan kos sara hidup di bandar raya itu.
Rina berkata kerajaan negeri ketika ini masih mengekalkan kadar bantuan kebajikan negeri antara RM200 hingga RM350 sebulan.
Menurut beliau, sebarang pertimbangan untuk menaikkan kadar bantuan bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri, manakala kenaikan kadar bantuan kebajikan Persekutuan adalah tertakluk kepada peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi pembentangan Belanjawan Persekutuan di Parlimen.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan telah meningkatkan had kelayakan pemohon bantuan berdasarkan Panduan Garis Kemiskinan (PGK) semasa, dengan had pendapatan Ketua Isi Rumah dinaikkan daripada RM1,198 pada 2025 kepada RM1,236 bagi 2026, manakala pendapatan per kapita meningkat daripada RM322 kepada RM348.



