ADVERTISEMENTspot_img

Gimnas Sabah dapat sentuhan jurulatih dari Denmark

Anggota pasukan gimnas SUKMA Sabah, Lucas Immanuel Rijoh (kiri), Evan Emmanuel Walter (dua dari kiri) , Leevan Savahi Moosom (tiga dari kiri), Lexianne Davona Benjamin (tiga dari kanan), Katie Liew (dua dari kanan) bersama Jimmi (tengah) dan Tong Ee (kanan) selepas sesi bengkel di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Oleh: Vitalis G. Bingkasan
KOTA KINABALU:  Seramai 30 hingga 35  gimnas termasuk atlet SUKMA Sabah mendapat sentuhan jurulatih dari Denmark, Jimmi Andersen.

Gimnas Sabah mendapat peluang itu menerusi bengkel gimnastik yang dikendalikan Jimmi di sini baru-baru ini.

Ketua jurulatih Sabah, Liew Tong Ee berkata, mereka pernah bersekolah di sekolah gimnastik sama di Ollerup Denmark.

Jimmi ialah atlet penerjun menara tinggi yang kini  merupakan instruktur kelab gimnastik di Denmark dan pensyarah pendidikan jasmani yang sering memberi bimbingan di sekolah sukan.

Menurutnya, ia  bukan kali pertama Jimmi berada di Sabah

kerana beliau pernah bertugas sebagai jurulatih selama sebulan di sini pada 2001.

Kali ini Jimmi dikatakan sedang bercuti bersama keluarga di Sabah dan Tong Ee menggunakan peluang itu dengan menjemputnya mengendalikan bengkel.

Sepanjang bengkel berlangsung, Jimmi berkongsi pelbagai tip dan nasihat berkaitan kemahiran teknikal serta persediaan mental sebelum bertanding.

Beliau turut memberi suntikan motivasi kepada para gimnas termasuk atlet yang sedang membuat persiapan menghadapi SUKMA 2026 di Selangor bulan depan.

Bengkel tersebut berlangsung dalam suasana yang menyeronokkan, mencabar namun bermakna serta  pembinaan semangat berpasukan diwujudkan dengan interaksi mesra dan positif sesama gimnas.

“Para jurulatih tempatan turut mendapat manfaat daripada kaedah pengendalian bengkel berkonsepkan gaya Denmark yang dibawa oleh Jimmi.

“Sebagai ketua jurulatih , kami mengucapkan terima kasih kepada Jimmi kerana sudi berkongsi pengalaman, ilmu dan membawa keceriaan serta tenaga positif ke gimnasium kami,” kata Tong Ee.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN