ADVERTISEMENTspot_img

KITA TIDAK BOLEH GAGAL BINA GENERASI BERILMU, BERKEMAHIRAN DAN BERAKHLAK : VICTOR

SUMBANGAN… Victor, menyampaikan sumbangan sebuah Chromebook kepada salah seorang daripada 35 murid SK Kuala Namadan yang menerima peranti tersebut bagi menyokong pembelajaran digital dan meningkatkan akses kepada teknologi dalam pendidikan.

TAMBUNAN: Generasi hari ini tidak boleh gagal dibentuk sebagai insan yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak kerana mereka merupakan aset paling berharga dalam menentukan masa depan negara, kata Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Datuk Victor Peter Paut.

Beliau berkata, pelaburan dalam pendidikan perlu menjadi keutamaan kerana tiada pembangunan yang lebih bernilai daripada usaha membangunkan modal insan yang berkualiti.

“Jalan raya boleh dibina, jambatan boleh didirikan dan bangunan tinggi boleh dibangunkan. Namun, jika kita gagal membina manusia yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak, maka segala pembangunan fizikal itu tidak akan membawa makna yang sebenar.

“Sebab itulah saya sentiasa percaya bahawa pendidikan merupakan pelaburan terbaik yang boleh kita lakukan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Pemerkasaan Pendidikan Digital Peringkat Daerah Tambunan 2026 di Sekolah Kebangsaan Kuala Namadan, di sini, hari ini.

Majlis bertemakan “Memacu Transformasi Digital, Memperkasa Pendidikan Masa Depan” itu turut dihadiri Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Julai David.

Victor berkata, penyediaan kemudahan seperti iBoard dan Chromebook bukan sekadar membekalkan peralatan moden, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang bagi melahirkan generasi yang lebih berilmu, berkemahiran serta mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan berkata, pembangunan tidak seharusnya hanya tertumpu di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, sebaliknya perlu dinikmati secara menyeluruh termasuk di sekolah-sekolah kecil dan kawasan pedalaman.

“Saya mahu sekolah-sekolah seperti SK Kuala Namadan turut menerima peluang yang sama kerana saya percaya pendidikan berkualiti mesti sampai kepada semua tanpa mengira sama ada mereka tinggal di bandar atau di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata, murid luar bandar mempunyai hak yang sama untuk mengakses teknologi dan mengejar cita-cita seperti rakan sebaya mereka di kawasan bandar.

Menurutnya, pendedahan kepada teknologi bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, malah mereka akan menjadi ejen perubahan dalam keluarga dengan membantu ibu bapa memahami penggunaan teknologi serta dunia digital.

“Mereka akan menjadi generasi yang lebih celik teknologi maklumat dan, lebih penting, tidak mudah terpedaya dengan penipuan dalam talian, berita palsu, jenayah siber serta pelbagai ancaman digital yang semakin berleluasa,” katanya.

Sementara itu, Victor turut mengingatkan murid di kawasan pedalaman supaya tidak berasa rendah diri hanya kerana belajar di kampung.

Beliau berkata, ramai individu berjaya dalam pelbagai bidang kerjaya berasal dari luar bandar dan kawasan pedalaman, sekali gus membuktikan latar belakang bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN