Julita (tengah) bersama rakan-rakan menteri kabinet serta pembantu menteri
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memaklumkan projek pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 6 berserta kuarters di Sungai Manila, Sandakan masih berada pada fasa pra-pelaksanaan dan belum dapat diteruskan ke peringkat tender kerana sedang melalui proses penyelarasan serta kelulusan semula dokumen teknikal dan kewangan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki, berkata dokumen Preliminary Details Abstract (PDA) bagi projek itu telah diterima dan dibentangkan, namun kos pembinaan meningkat daripada RM15 juta kepada RM34.82 juta.
Menurut beliau, peningkatan kos itu berpunca daripada pertukaran tapak, perubahan reka bentuk serta kenaikan harga pasaran semasa.
“Sehubungan itu, permohonan Notice of Change (NOC) perlu dikemukakan bagi meningkatkan siling peruntukan projek kepada RM35 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Haji Hazem Mubarak Musa (Sungai Manila) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Datuk Julita berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah kini sedang menyediakan dokumen berkaitan untuk dibentangkan semula dalam Mesyuarat PDA sebelum projek dapat diteruskan ke fasa seterusnya.



