Rina dan Julita
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) komited mempertingkatkan fasiliti kesihatan serta aset perubatan di Hospital Lahad Datu bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal, berkata Hospital Lahad Datu yang berstatus Hospital Berpakar Minor terus diberi perhatian menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif penambahbaikan.
Beliau berkata kerja awalan bagi projek naik taraf hospital itu kini sedang dilaksanakan, melibatkan pembaikan struktur bangunan sebagai persediaan untuk meningkatkan kemudahan sedia ada.
“Pada masa sama, penggantian, penambahan dan perolehan baharu aset perubatan turut dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti dapat diberikan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Dr. Mohammad Yusof Apdal (Silam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.



