MUSNAH…. Bashir (kiri) ketika meninjau sebuah rumah milik Abdul Ghani Osman (kanan) yang rosak teruk akibat ditiup angin kencang semalam diKampung Rancha-Rancha.
LABUAN: Lebih 10 buah rumah mengalami kerosakan teruk akibat angin kencang dan dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan dan angin ribut yang melanda beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan Labuan, malam tadi.
Antara kampung yang terlibat dalam kejadian jam 9 malam hingga jam 12 tengah malam itu termasuklah Layang-Layangan, Sungai Lada, Sungai Miri/Pagar, Sungai Bedaun, Rancha-Rancha, Patau-Patau dan Kampung Belukut.
Dua daripada rumah berkenaan rosak akibat di hempap pokok tumbang masing masing sebuah di Kampung Sungai Lada apabila bumbung rumahnya rosak akibat dihempap pokok durian dan sebuah lagi rumah kediaman Ketua MCA Bahagian Labuan, Datuk Chin Hong Vui di Taman Kai Nguong, Kampung Sungai Bedaun.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias sempat meninjau beberapa buah rumah penduduk kampung yang terjejas sambil menghulurkan bantuan berupa bakul makanan.
“Saya telah mendapat maklumat sekurang-kurangnya terdapat dua buah rumah masing masing di Kampung Rancha-Rancha dan Kampung Patau-Patau hampir musnah apabila bumbung rumah mereka ditiup angin kencang semalam” katanya ketika ditemui selepas meninjau rumah mangsa kejadian angin kencang di Kampung Rancha-Rancha, pagi ini.
Dalam pada itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan adalah antara agensi yang turut membuat tinjuan awal untuk membantu mangsa kejadian angin kencang.