SEMANGAT……..Sebahagian peserta merakam gambar dengan penuh semangat sebelum upacara pelepasan Larian Merdeka dilakukan.
Oleh: Salwah Aramat & Editor
RANAU: Semangat patriotisme dan perpaduan masyarakat terus disemarakkan menerusi penganjuran Larian Merdeka Peringkat Kampung Matan 2026 yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai lapisan usia di Padang Patod, baru-baru ini.
Program anjuran bersama MATRA FC dan Beliawanis Kampung Matan itu bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat kekitaan dalam kalangan penduduk sempena Bulan Kebangsaan.
Larian sejauh 6.5 kilometer bermula kira-kira 7 pagi selepas peserta menyertai sesi senamrobik dan pemanasan badan, sebelum diberikan taklimat berkaitan laluan serta aspek keselamatan.
Acara kemudian dimulakan dengan bacaan doa dan pelepasan peserta di garisan permulaan.
Pengerusi penganjur Hillary Salmoen berkata penganjuran program itu bertujuan menggalakkan masyarakat menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada amalan hidup sihat, di samping mempererat hubungan antara penduduk tanpa mengira peringkat umur.

2TERBAIK……..Para veteran yang berjaya menamatkan larian sempena program tersebut.
Beliau berkata penyertaan kanak-kanak, beliawanis, ibu bapa, veteran dan pesara kerajaan menunjukkan program berasaskan komuniti mampu menjadi medium berkesan dalam mengukuhkan hubungan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Penyertaan pelbagai generasi membuktikan semangat kebersamaan masih kukuh dan aktiviti seperti ini mampu menyatukan masyarakat dalam suasana yang sihat, santai dan penuh semangat patriotik,” katanya.
Antara veteran yang turut hadir memberikan sokongan dan memeriahkan acara ialah Majus Munsing, Supidih Sallehin, Winnie Awang, Rinah Gahun, Peter Ugau, Joe Butit dan Andreas Tabari.
Dalam pertandingan dua kategori utama, Joe Butit muncul juara keseluruhan kategori veteran, manakala Oliver Steven mengungguli kategori remaja.
Joe turut memainkan peranan sebagai petugas perubatan sepanjang acara bagi membantu memastikan aspek keselamatan dan kebajikan peserta berada pada tahap yang baik sehingga program berakhir.
Selepas peserta menamatkan larian, acara diteruskan dengan sesi bergambar dan aktiviti santai sebelum para peserta bersama-sama menyanyikan lagu patriotik sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Program turut diserikan dengan cabutan tiket bertuah, jamuan ringan dan ucapan penutupan dalam suasana kekeluargaan.
Penganjuran Larian Merdeka Kampung Matan 2026 memperlihatkan sambutan Bulan Kebangsaan di peringkat komuniti bukan sekadar melalui acara rasmi, sebaliknya dapat diterjemahkan menerusi aktiviti yang menggabungkan elemen kesihatan, perpaduan dan kecintaan terhadap negara.
Program percuma itu berakhir sekitar 10 pagi dengan meninggalkan kenangan bermakna kepada peserta dan penduduk setempat menerusi semangat “Kita Lari, Kita Merdeka, Kita Bersama”.



