HADIR…..Pelakon popular Singapura Henry Thia atau Hui Ge (berbaju corak bunga) pada Jualan Mega KTC di Kota Kinabalu, ditemani Pengarah Eksekutif KTC Consolidated Berhad, Datuk Dexter Lau (kiri) dan Pengarah Urusan KTC, Datuk Lau Kok Sing.
KOTA KINABALU: Jualan Mega KTC Consolidated Berhad (KTC) mencatat nilai jualan RM1.4 juta dalam tempoh dua hari, mencerminkan sambutan menggalakkan daripada pengguna terhadap pelbagai tawaran barangan keperluan harian dan isi rumah yang dianjurkan syarikat itu.
Lebih menarik, jualan mega yang berlangsung selama tiga hari dari 28 hingga 30 Ogos itu masih berbaki satu hari untuk dimanfaatkan orang ramai bagi mendapatkan pelbagai produk pada harga promosi, termasuk diskaun sehingga 80 peratus bagi barangan terpilih.
Sambutan turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa pelakon popular Singapura, Henry Thia atau Hui Ge, semalam yang menarik kehadiran peminat dan pengunjung ke lokasi jualan.
Hui Ge, yang berada di lokasi dari 1 hingga 3 petang, meluangkan masa beramah mesra dengan pembeli, menyertai aktiviti di tapak serta bergambar bersama orang ramai, sekali gus menambahkan kemeriahan acara berkenaan.
Kehadiran beliau turut memberi peluang kepada peminat untuk bertemu secara dekat dan merakam kenangan bersama selebriti berkenaan, selain menjadi antara tarikan utama pada hari kedua jualan mega itu.
Pengarah Eksekutif KTC Consolidated Berhad, Datuk Dexter Lau berkata pencapaian jualan RM1.4 juta dalam tempoh dua hari menunjukkan sambutan positif masyarakat terhadap inisiatif yang dianjurkan KTC.
Beliau berkata, penganjuran jualan mega itu bukan semata-mata bertujuan menawarkan produk pada harga lebih berpatutan, tetapi turut menjadi platform bagi KTC mendekati pengguna dan komuniti secara lebih langsung.
“Kami berharap jualan mega ini memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan keperluan harian pada harga lebih berpatutan, sambil membolehkan lebih ramai mengenali produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh KTC.
“Interaksi secara langsung dengan masyarakat melalui aktiviti di tapak juga merupakan cara penting untuk kami membina hubungan lebih kukuh dengan pengguna,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas sokongan yang diberikan sejak hari pertama jualan mega berkenaan.
Menurutnya, KTC masih mempunyai satu hari terakhir jualan hari ini, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan barangan pilihan menerusi pelbagai tawaran dan promosi masa terhad yang disediakan.
KTC dalam kenyataannya turut mengingatkan pengguna bahawa stok bagi produk promosi dan barangan pada harga istimewa adalah terhad serta ditawarkan selagi stok masih ada.
Orang ramai yang ingin mendapatkan tawaran berkenaan digalakkan hadir lebih awal pada hari terakhir bagi mengelakkan terlepas peluang membeli produk pilihan pada harga promosi.



