Rusdin (tengah) bersama pemimpin setempat dan penduduk kampung pada program berkenaan.
RANAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan Datuk Rusdin Riman menegaskan komitmennya untuk terus mendekati masyarakat luar bandar bagi memahami keperluan rakyat serta membawa isu dan permasalahan mereka kepada perhatian kerajaan untuk tindakan sewajarnya.
Beliau berkata pendekatan turun padang penting bagi memastikan isu yang dihadapi penduduk, khususnya berkaitan infrastruktur asas dan kemudahan luar bandar, dapat dikenal pasti secara langsung dan diberi perhatian secara berperingkat.
“ Saya merasakan denyut nadi warga di kawasan Paginatan ini dan yang penting saya utamakan ialah membawa suara serta masalah rakyat di Paginatan untuk perhatian kerajaan dan pemimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jualan Rahmah Peringkat Kampung Mangkadait, di sini, baru-baru ini.
Rusdin berkata perbezaan pandangan, latar belakang dan kecenderungan politik dalam kalangan masyarakat tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membangunkan kawasan serta menjaga kepentingan bersama.
“Kita mungkin berbeza pandangan, latar belakang dan pendapat politik. Tetapi apabila kita bercakap tentang kepentingan Kampung Mangkadait dan masa depan anak-anak kita, kita mesti bersatu.
“Kita boleh berbeza pendapat, tetapi jangan berbeza dalam memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, komitmen kepada masyarakat Paginatan turut diterjemahkan melalui kesediaannya menempuh perjalanan jauh untuk bertemu penduduk, termasuk bertolak dari Kota Kinabalu seawal 5 pagi bagi menghadiri program berkenaan.
“Saya tidak mahu menjadi wakil rakyat yang hanya datang apabila ada majlis. Saya mahu terus berada bersama rakyat Paginatan,” katanya.
Pada program itu, Rusdin turut merasmikan Pejabat Perhubungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ketua Kampung Mangkadait, yang diharap dapat memudahkan urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata pembangunan Paginatan perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh perpaduan masyarakat serta menyediakan lebih banyak peluang kepada generasi muda.
“Kita bangunkan Paginatan, kita jaga perpaduan dan kita buka lebih banyak peluang untuk anak-anak kita. Kita pastikan generasi akan datang mendapat kehidupan yang lebih baik daripada generasi hari ini,” katanya.
Sementara itu, siri turun padang Rusdin turut meliputi Kampung Miruru bagi meninjau keadaan sistem perparitan dan jalan raya yang memerlukan pembaikan serta penambahbaikan.
Beliau kemudian meneruskan kunjungan ke Kampung Rumantai dan menyerahkan sebuah tangki air kepada komuniti setempat bagi membantu memenuhi keperluan asas penduduk.
Rusdin berkata lawatan tersebut membolehkan beliau melihat sendiri keadaan masyarakat serta mengenal pasti keperluan asas dan isu pembangunan yang masih memerlukan perhatian di kawasan pedalaman Paginatan.
Katanya, aspek jalan raya, sistem perparitan dan bekalan air merupakan antara keperluan asas yang perlu terus diberi perhatian supaya manfaat pembangunan dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh masyarakat luar bandar.
“Khidmat untuk rakyat, tanggungjawab kita bersama,” katanya.



