ADVERTISEMENTspot_img

GAGASAN RAKYAT ROMBAK STRUKTUR, 25 KETUA BAHAGIAN PENAJA DIAMANAHKAN PERKUKUH AKAR UMBI

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) merombak struktur organisasinya dengan memperkenalkan 25 Ketua Bahagian (Penaja) baharu mengikut kawasan Parlimen, dalam usaha memperkemas jentera parti serta memperkukuh kepimpinan di peringkat akar umbi.

Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata penstrukturan itu menampilkan gabungan pemimpin berpengalaman, tokoh muda dan muka baharu daripada pelbagai latar belakang, sekali gus mencerminkan usaha parti membentuk kepimpinan yang lebih dinamik dan responsif terhadap perkembangan politik semasa.

Beliau berkata pelantikan itu dibuat selepas mengambil kira pengalaman, kemampuan kepimpinan, rekod khidmat kepada masyarakat, penerimaan akar umbi serta keupayaan calon menggerakkan organisasi secara berkesan.

“Gabungan pengalaman dengan tenaga baharu penting untuk memastikan organisasi terus berkembang dan kekal dekat dengan rakyat.

“Kita mahu setiap bahagian menjadi organisasi yang hidup, aktif dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat. Ketua Bahagian bukan sekadar memegang jawatan, tetapi memikul amanah untuk membina organisasi, menyatukan ahli dan membawa suara masyarakat ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Hajiji berkata kepimpinan senior akan terus berperanan sebagai sumber pengalaman dan panduan strategik, manakala penyertaan pemimpin muda serta muka baharu dijangka membawa pendekatan, perspektif dan idea segar kepada gerak kerja parti.

Menurut beliau, pendekatan kepimpinan merentas generasi itu penting bagi memastikan Gagasan Rakyat mempunyai organisasi yang lebih tersusun, berkeupayaan berkembang dan mampu menyesuaikan diri dengan tuntutan politik serta aspirasi masyarakat.

“Pelantikan ini bukan sekadar pengisian jawatan, sebaliknya sebahagian daripada usaha membina satu pasukan yang menggabungkan pengalaman dengan tenaga baharu.

“Pemimpin senior mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan yang sangat bernilai, manakala pemimpin muda serta muka baharu membawa perspektif dan idea yang segar,” katanya.

Beliau berkata struktur baharu itu turut memberi tumpuan kepada pengukuhan jaringan akar umbi, peluasan keahlian dan pengaktifan gerak kerja parti di setiap kawasan Parlimen.

Dalam perkembangan sama, empat daripada 25 Ketua Bahagian (Penaja) yang diumumkan merupakan muka baharu, iaitu Saripin Magana bagi Kota Marudu, Shah Alfie Yahya Ahmad Shah (Putatan), Datuk Dr Mohd Jasmin Julpin (Semporna) dan Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal (Kalabakan).

Hajiji berkata semua Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik perlu melihat amanah berkenaan sebagai tanggungjawab untuk memperkukuh organisasi, bukan semata-mata kedudukan politik.

“Dengan menggabungkan pengalaman pemimpin senior, semangat anak muda serta penyertaan muka baharu, kita mahu membentuk satu saf kepimpinan yang lebih kukuh, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan parti tidak bergantung kepada individu semata-mata, sebaliknya terletak pada keupayaan seluruh pasukan bekerja secara bersama dan menterjemahkan agenda parti kepada bentuk khidmat yang benar-benar dirasai rakyat.

25 KETUA BAHAGIAN (PENAJA) GAGASAN RAKYAT

  1. Kudat – Datuk Seri Ruddy Awah
  2. Kota Marudu – Saripin Magana
  3. Kota Belud – Datuk Mohd Arshad Bistari
  4. Tuaran – Datuk Seri Panglima Hajiji Noor
  5. Sepanggar – Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi
  6. Kota Kinabalu – Datuk Faisyal YH Diego
  7. Putatan – Shah Alfie Yahya Ahmad Shah
  8. Penampang – Datuk Ceasar Mandela Malakun
  9. Papar – Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar
  10. Kimanis – Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif
  11. Beaufort – Datuk Isnin Aliasnih
  12. Sipitang – Datuk Dr Yusof Yacob
  13. Ranau – Datuk Seri Panglima Masidi Manjun
  14. Keningau – Datuk Azaman Ruslan
  15. Tenom – Datuk Rubin Balang
  16. Pensiangan – Datuk Abdul Ghani Yassin
  17. Beluran – Datuk James Ratib
  18. Libaran – Datuk Hazem Mubarak Tun Musa
  19. Batu Sapi – Datuk George Hiew Vun Zin
  20. Sandakan – Datuk Awang Kadin Tang
  21. Kinabatangan – Datuk Masiung Banah
  22. Lahad Datu – Ir Rajesh Datuk Yusof
  23. Semporna – Datuk Dr Mohd Jasmin Julpin
  24. Tawau – Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
  25. Kalabakan – Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal

Hajiji turut merakamkan tahniah kepada semua yang dilantik dan berharap mereka melaksanakan amanah dengan penuh integriti, komitmen serta semangat berpasukan demi kepentingan parti dan rakyat.

Penstrukturan baharu itu dilihat sebagai antara langkah penting Gagasan Rakyat dalam memperkemas organisasi parti di seluruh Sabah, khususnya dengan memberi tumpuan lebih jelas kepada pengurusan bahagian berdasarkan kawasan Parlimen.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN