KOTA KINABALU: Sambutan luar jangka terhadap KTC Mega Sale menyaksikan jualan mencecah RM200,000 dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan dibuka pagi ini, mencerminkan minat tinggi pengguna terhadap tawaran harga rendah yang disediakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau, berkata pencapaian berkenaan menunjukkan sambutan terhadap penganjuran kali ini jauh lebih memberangsangkan berbanding promosi yang pernah dianjurkan sebelum ini.
“Dalam dua jam pertama sahaja, jualan sudah mencapai RM200,000,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada KTC Mega Sale di premis syarikat di Sedco Sabah, di sini, hari ini.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar memberi peluang kepada pengguna mendapatkan pelbagai barangan pada harga lebih rendah, malah menjadi pendekatan strategik KTC dalam memperluas pengenalan jenama kepada masyarakat.

Katanya, impak promosi itu turut dapat dilihat menerusi peningkatan ketara pengikut laman Facebook rasmi KTC yang bertambah kira-kira 10,000 pengikut dalam tempoh pagi ini.
Dexter berkata tawaran harga istimewa yang ditawarkan juga diharap dapat membantu meringankan perbelanjaan pengguna, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup serta peningkatan harga bahan api.
KTC Mega Sale berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 30 Ogos, menawarkan diskaun sehingga 80 peratus bagi pelbagai produk dan jenama terpilih.
Jualan dibuka dari 9 pagi hingga 6 petang di premis Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Sedco Sabah, Lot 73, Mile 5.5, Jalan Kilang, di sini.



