ADVERTISEMENTspot_img

Sekolah pedalaman wajar nikmati pendidikan digital setanding bandar – Victor Paut

TAMBUNAN: Sekolah di kawasan pedalaman wajar diberikan akses kepada kemudahan pendidikan digital yang setanding dengan sekolah di kawasan bandar bagi memastikan murid dan pelajar tidak tercicir dalam arus perkembangan teknologi.

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tambunan, Dato’ Victor P. Paut berkata usaha memperkasa pendidikan digital perlu dilaksanakan secara berterusan, termasuk melalui penyediaan peralatan teknologi dan sokongan kewangan kepada sekolah.

Katanya, inisiatif itu antara lain bertujuan membantu sekolah meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran selain memastikan pelajar di kawasan pedalaman turut mendapat manfaat daripada perkembangan pendidikan berasaskan teknologi.

“Zaman sekarang sudah memasuki era digital, jadi kita perlu bukan sahaja memperkasakan pendidikan di daerah ini, tetapi juga mencapai aspirasi sekolah digital di kawasan pedalaman supaya pelajar tidak ketinggalan dalam penggunaan teknologi dalam pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari St. David di Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) St. David Toboh, di sini, semalam.

Menurut Victor, antara kemudahan digital yang disalurkan kepada sekolah di Tambunan termasuk televisyen pintar (Smart TV), iPad, komputer riba, Chromebook dan Smart Board.

“Terbaharu, kita menyediakan 35 unit Chromebook dan sebuah Smart Board kepada SK Nambadan, selain 10 unit Smart TV untuk kegunaan pelajar Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan.

“Kita turut menyediakan dana bagi memenuhi keperluan aktiviti dan program sekolah dari semasa ke semasa,” katanya.

Victor yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera berkata pihaknya turut menyediakan peruntukan bagi pelaksanaan program Smart Tuisyen atau Smart Study untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di sekolah menengah di Tambunan.

Katanya, bantuan berkenaan dilaksanakan setiap tahun sejak 2022 sebagai usaha membantu pelajar membuat persediaan lebih baik bagi menghadapi peperiksaan awam.

“Kita sentiasa membantu dari segi dana kepada semua sekolah menengah di Tambunan bagi pelaksanaan Smart Tuisyen atau Smart Study, khususnya untuk pelajar SPM dan STPM.

“Program ini sudah dilaksanakan sejak empat tahun lalu supaya pelajar di Tambunan dapat menikmati kemudahan dan sokongan pembelajaran yang setanding dengan pelajar di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata kesinambungan bantuan berbentuk kewangan dan peralatan digital itu mencerminkan komitmen untuk menyokong pembangunan pendidikan di Tambunan secara menyeluruh, khususnya dalam memperluas pembelajaran berasaskan teknologi.

Victor turut menekankan kepentingan kerjasama semua pihak termasuk sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat bagi memastikan kemudahan yang disalurkan dimanfaatkan sepenuhnya.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pencapaian akademik, malah berupaya melahirkan generasi pelajar yang celik digital dan mampu menyesuaikan diri dengan keperluan pendidikan serta dunia pekerjaan masa depan.

Terdahulu, Victor menyumbangkan kira-kira RM11,000 kepada SK St. David Toboh, masing-masing RM5,000 dalam bentuk wang tunai dan RM6,000 bagi penyediaan 300 kerusi plastik untuk kegunaan sekolah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN