KOTA KINABALU: Pimpinan Kerajaan Sabah mengadakan pertemuan dengan Majlis Gereja-Gereja Sabah (Sabah Council of Churches – SCC) bagi membincangkan penambahbaikan mekanisme pelaksanaan peruntukan pembangunan rumah-rumah ibadat bukan Islam di negeri ini, khususnya dalam Belanjawan Sabah 2027.
Pertemuan itu melibatkan anggota Kabinet Kerajaan Sabah yang beragama Kristian iaitu Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki.
Ewon berkata, pertemuan itu memberi ruang kepada pimpinan kerajaan dan SCC untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan keperluan rumah-rumah ibadat bukan Islam, termasuk usaha menambah baik mekanisme pelaksanaan peruntukan pembangunan pada masa akan datang.
“Pertemuan ini antara lain membincangkan penambahbaikan mekanisme pelaksanaan peruntukan pembangunan rumah-rumah ibadat bukan Islam, terutama dalam Belanjawan 2027 kelak.
“Saya turut mencadangkan supaya pemberian biasiswa atau bantuan pengajian kepada pemimpin gereja yang mengikuti pengajian teologi diperkenalkan sebagai salah satu bentuk sokongan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghoskan pertemuan anggota Kabinet Kerajaan Sabah yang beragama Kristian bersama pimpinan SCC, di sini, malam tadi.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Jonnybone Kurum, Setiausaha MINDET Datuk Thomas Logijin, Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr.Lifred Wong, Pengurus Besar kumpulan SEDCO, Datuk Ar.James Wong dan Presiden SCC Bishop Wong Pui Kong.
Perbincangan dalam pertemuan itu dipengerusikan oleh Joachim dan dihadiri semua wakil gereja dan denominasi Kristian, antaranya Anglican Diocese of Sabah, Basel Christian Church of Malaysia, Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah, Calvary Charismatic Centre, Grace Chapel, Sabah Evangelical Mission, Christian Revival Church, The Methodist Church, Sabah Baptist Association, Protestant Church of Sabah, Assembly of God serta Roman Catholic Archdiocese of Kota Kinabalu.
Kesemua anggota Kabinet yang menyertai pertemuan itu turut berkongsi pelbagai inisiatif semasa yang sedang dilaksanakan Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Ewon merakamkan penghargaan kepada semua kerana pertemuan pertama seumpama itu mendapat sokongan daripada kepimpinan SCC.
“Saya gembira kerana pertemuan yang pertama kali seumpama ini lmendapat sokongan daripada kepimpinan SCC dan saya berharap ini dapat diteruskan sebagai platform perbincangan antara pimpinan kerajaan dan gereja,” katanya dan menambah pertemuan seterusnya akan dihoskan oleh Datuk Rubin Balang.
Ewon berkata, pertemuan itu penting dalam memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara kerajaan dengan institusi keagamaan, selaras dengan kepelbagaian masyarakat Sabah.
“Semoga pertemuan seperti ini dapat memberi berkat kepada Sabah sebagai sebuah negeri yang mempunyai kepelbagaian agama, kaum, bahasa dan adat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Sabah Council of Churches (SCC), Bishop Wong Pui Kong berkata, pihak gereja menghargai usaha Kerajaan Sabah dalam membina dan memelihara keharmonian rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama.
“Suasana aman damai, saling hormat-menghormati dan saling memahami adalah anugerah yang sangat berharga bagi Sabah. Kami juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah kerana sentiasa menghormati dan memelihara kebebasan beragama,” katanya.
Beliau berkata, SCC dan gereja-gereja di Sabah akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam usaha membina masyarakat yang aman, harmoni dan saling menghormati.
“Kami percaya kerajaan dan gereja mempunyai peranan masing-masing dalam membawa kebaikan kepada masyarakat serta membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.
Wong turut menyambut baik cadangan Ewon supaya biasiswa atau bantuan pengajian diperkenalkan kepada pemimpin gereja yang mengikuti pengajian teologi.
“Kami menyambut baik cadangan Datuk Ewon dan berharap ia dapat dipertimbangkan,” katanya.



