Anggota Penguatkuasa KPDN bersama Penguatkuasa JKDM menyita diesel yang disimpan tanpa permit.
LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan sekali lagi berjaya membongkar kegiatan menyimpan diesel tanpa permit di sebuah setor di Kampung Patau Patau.
Kejayaan itu adalah hasil kerjasama dengan Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM) Labuan melalui serbuan Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang dijalankan pada petang Isnin.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain dalam satu kenyataan berkata hasil pemeriksaan di premis (setor) berkenaan telah menemui cecair yang dipercayai minyak diesel yang disimpan di dalam 19 buah gelen dengan anggaran kuantiti keseluruhan sebanyak 285 liter.
“Pemeriksaan lanjut mendapati barang kawalan berjadual tersebut disimpan tanpa permit seterusnya satu tindakan kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] terhadap pemilik stor berkenaan yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 64 tahun” , katanya
Junaidah berkata, nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM612.75.
Beliau turut merakamkan penvhargaan kepada JKDM atas kerjasama erat yang terjalin dalam pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).
Katanya, kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa akan terus diperkukuhkan bagi memastikan aktiviti penyelewengan barang kawalan serta ketirisan subsidi kerajaan dapat dibanteras dengan lebih berkesan demi melindungi kepentingan rakyat dan negara.
Dalam waktu yang sama KPDN Labuan turut menyeru orang ramai agar terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan, penyalahgunaan subsidi, penyimpanan atau pemindahan barang kawalan tanpa kebenaran serta lain-lain pelanggaran di bawah bidang kuasa KPDN.
“Kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat penting dalam membantu pihak penguat kuasa membanteras ketirisan subsidi serta memastikan barang kawalan sampai kepada golongan yang benar-benar layak”, katanya.



