SOPHIAN SAID
LABUAN: Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA) bersama Syarikat Silion Shipping S/B akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak 9 sebelah Sailion Cup.
Menurut Presiden LAFA, Sophian Said, kejohanan yang akan diadakan selama 3 hari bermula 4 hingga 6 Ogos depan turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Labuan (PL), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) dan Majlis Belia Labuan (MBL).
Beliau berkata, perlawanan peringkat kumpulan akan diadakan di padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan, manakala peringkat suku akhir hingga peringkat final akan diadakan di padang Dataran Labuan.
“Sehingga kini sebanyak 42 pasukan telah mengesahkan untuk mengambil bahagian melibatkan penyertaan dari Negara Brunei Darussalam, Sabah dan Sarawak termasuk Labuan” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pertandingan akhir 6 Ogos akan diadakan pada sebelah malam bermula jam 8 malam.
“Bagi memeriahkan lagi suasana pada malam pertandingan akhir itu pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk persembahan hiburan ‘live band’ yang didatangkan daripada Kota Kinabalu, selain gerai-gerai jualan makanan dan minuman” katanya.
Beliau berharap kejohanan ini bukan sahaja dapat menyemarakan kegemilangan sukan bola sepak Labuan, tetapi juga mempromosikan semula sukan pelancongan Labuan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi Labuan khususnya peniaga-peniaga kecil.