Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan Labuan mencapai imuniti berkelompok seawal bulan Julai sekaligus menjadikan Labuan wilayah pertama dalam negara mencapai imuniti berkelompok.
Demikian kata Menterinya, Tan Sri Anuar Musa pada sidang media yang diadakan secara langsung di Facebook pada Selasa.
Beliau berkata, KWP akan mengusahakan supaya keseluruhan Labuan mencapai tahap imuniti berkelompok seawal bulan Julai dan Labuan akan menjadi Wilayah pertama dalam negara yang mencapai imuniti berkelompok.
” Ini adalah komitmen dan sasaran KWP yang telah mendapat restu daripada pucuk pimpinan dan jawatankuasa vaksinasi yang terbabit.
“Kita juga menyasarkan Wilayah Persekutuan menjadi bandar-bandar pertama mencapai tahap imuniti berkelompok dalam pemberian vaksin COVID 19 dalam negara” katanya.
Bagi mencapai matlamat itu, KWP akan melipatgandakan usaha melaksanakan program vaksinasi di Labuan daripada 1000 dos suntikan sehari kepada 3000 dos suntikan.
Jelas beliau, pihaknya telah memutuskan dengan persetujuan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITP) untuk menghantar 35,100 dos vaksin ke Labuan pada minggu ini dan akan ditambah sekiranya kapasiti pemberian vaksin dapat diwujudkan.
Menyentuh mengenai masalah kekurangan bekalan makanan yang dihadapi di pulau bebas cukai itu, pihaknya akan menghantar sebanyak 120 tan bekalan makanan membabitkan 75 tan beras dan masing masing 15 tan, gula, minyak masak dan tepung secepat mungkin mengunakan pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM)
“ Kita akan bekerjasama dengan TUDM bagi menghantar bekalan berkenaan ke Labuan pada Khamis ini” kataya.