JALALUDIN ketika berucap apada sesi libat urus bersama Pengerusi JPKK dan MPP.
LABUAN: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mahu isu yang membabitkan pembangunan sosial dan status pelantikan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat di pulau ini.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan dan Pejabat Ahli Dewan Negara akan bekerjasama memantau setiap isu yang dibangkitkan oleh Pengerusi JPKK (Ketua Kampung) mahupun Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).
“ Saya berharap apa juga isu yang boleh diselesaikan di peringkat pihak Berkuasa Tempatan (Perbadanan Labuan) dan pejabat Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias akan diselesaikan oleh mereka.
“Ini termasuklah isu status pelantikan barisan JPKK yang belum selesai sejak Oktober tahun lalu.
“Kalau boleh saya mahukan isu pelantikan kepimpinan JPKK Labuan ini diselesaikan dalam seminggu ini, kami tidak mahu isu ini berlarutan yang boleh menjejaskan keharmonian penduduk kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan majlis libat urus bersama Pengerusi JPKK dan Majlis Perwakilan Penduduk di sini, pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis itu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Che Roslan Che Daut dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail.
Sementara itu katanya, bagi isu-isu yang membabitkan suntikan dana dan dasar yang memerlukan perhatian segera ianya akan diambil perhatian oleh pihak kementerian untuk penyelasaian segera.
Menyentuh mengenai kedudukan Labuan sebagai pulau bebas cukai yang sudah lama wujud iaitu sejak tahun 1956, namun ia dilihat tidak berfungi sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya, sehingga tidak menjadi tempat yang popular oleh pelancong berbanding dengan kawasan lain.
“Perkara ini telah di bincangkan dalam mesyuarat bersama 83 Ketua Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan yang ada di sini iaitu bagaimana kita mengadakan penyelasaian masalah kepada taraf Labuan sebagai Pulau Bebas Cukai sebenar.
“Saya mahu Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Labuan yang baharu dibentuk melibatkan l kesemua ketua jabatan dan agensi kerajaan di Labuan ini berbincang untuk mencari jalan penyelesaian dan meneliti apa juga masalah yang timbul berkaitan status Pulau Bebas Cukai untuk saya angkat ke pihak kementerian dan kerajaan” katanya.
Terdahulu sebelum itu, beliau turut melawat projek pengeluaran ikan bilis di Kampung Bebuloh.
Pada sesi lawatan itu, beliau turut meluluskan peruntukan sebayak RM50,000 bagi kegunaan melengkapkan peralatan yang diperlukan oleh pengusaha pengeluaran ikan bilis tersebut.