GAMBAR: TERIMA KASIH…. Mohd Nizam ( kiri) ketika menyampaikan cenderahati kepada Ketua Biro Bernama Labuan Jailani Hassan (kanan)
LABUAN: Kutipan zakat di tiga wilayah persekutuan yang membabitkan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan mencatat RM800 juta tahun 2020 iaitu meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya, meskipun berdepan pandemik COVID-19.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mohd Nizam Yahya berkata zakat perniagaan menyumbang kutipan tertinggi berbanding zakat pendapatan.
“Ketika pandemik bermula pada awal 2020, kita menjangkakan kutipan zakat akan menurun, namun berlaku sebaliknya”, katanya kepada pemberita pada majlis Malam Apresiasi Media 2021 anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan, di sini pada Ahad.
Beliau berkata, berdasarkan statistik pada tahun-tahun sebelumnya, peningkatan kutipan zakat adalah pada kadar empat hingga enam peratus, namun tahun lepas peningkatan kutipan begitu ketara.
Mohd Nizam berkata MAIWP menjangkakan pada tahun mendatang jumlah kutipan zakat akan meningkat sehingga RM1.1 bilion.
“ MAIWP akan menggunakan 80 peratus daripada jumlah kutipan RM1.1 bilion untuk pelbagai skim bantuan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 2022.
Sementara itu, Mohd Nizam berkata ‘MAIWP Healthcare Clinic’ akan diwujudkan di Labuan bagi membantu golongan asnaf menerima rawatan perubatan.
“Buat masa ini kita ada 22 MAIWP Healthcare Clinic di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan kita akan lebarkan kemudahan rawatan ini ke Labuan. Kita akan buat perancangan ke arah itu,” katanya.
Ketika berucap pada majlis itu, Mohd Nizam telah menzahirkan penghargaan kepada pengamal media di Labuan atas kerjasama dalam pelaporan berita sama ada sebelum dan semasa pandemik COVID-19.
“Banyak program dan skim bantuan MAIWP dilaporkan oleh rakan-rakan media dari pelbagai platform, sekaligus dapat membantu MAIWP dalam melebarkan lagi skim bantuannya kepada yang layak,” katanya.