31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Oktober 6, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kualiti Pengacara Majlis Menentukan Perjalanan Sesuatu Majlis

Sherard Elfrio Pranchis, dari SM St. Francis Xavier Keningau muncul sebagai Peserta Terbaik Lelaki menerima penghargaan daripada Johari


KENINGAU: Perjalanan sesuatu majlis itu sama ada berjalan lancar, harmoni, menyenangkan dan menyeronokkan, banyak bergantung kepada kualiti seseorang Pengacara Majlis.


Pegawai Pendidikan Daerah Keningau, Johari @ Jaibet bin Sabin berkata, oleh itu, seseorang Pengacara Majlis yang berjaya, perlu mempunyai pengetahuan yang luas tentang selok-belok peranan dan tugasnya.


“Selain itu, mereka mesti mempunyai beberapa ciri yang baik sebagai seorang Pengacara Majlis,” katanya ketika merasmikan Program Perkampungan Bahasa Bitara: Bengkel Pengacaraan Sekolah Menengah Peringkat Daerah Keningau Tahun 2023, baru-baru ini.


Menurutnya, Pengacara Majlis, ataupun dalam Bahasa Inggerisnya dipanggil sebagai Master of Ceremony (MC) merupakan orang yang paling berkuasa dalam sebuah majlis.


“Bermula dari majlis itu dibuka, dan berakhir sehingga majlis itu ditamatkan. Pengacara Majlis adalah bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengawal serta memimpin perjalanan sesebuah majlis itu.

Johari menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah jemputan di majlis itu


“Terdapat banyak bentuk pengisian yang boleh dipilih untuk dilaksanakan dalam program Perkampungan Bahasa BITARA ini, sama ada yang berbentuk bengkel, ceramah, seminar atau forum.


“Ini melibatkan aktiviti seperti permainan bahasa, pengucapan awam, nyanyian, deklamasi, bedah karya, bercerita, perbincangan, sumbang saran, resensi buku dan pelbagai lagi aktiviti bahasa yang bersesuaian.


“Namun pada tahun ini, pengelola program Perkampungan Bahasa BITARA peringkat daerah Keningau telah memilih bengkel Pengacaraan Majlis,” jelasnya.


Menurut Jaibet, Bengkel Pengacaraan Majlis yang dilaksanakan dalam program pada hari tersebut amatlah relevan dalam usaha untuk mengasah bakat dan melahirkan sebanyak mungkin Pengacara Majlis yang berkualiti, serta yang mampu mengendalikan pelbagai majlis yang diadakan.


Beliau turut menyeru semua peserta menggunakan peluang terbaik itu untuk memberi tumpuan dan terlibat secara aktif semasa bengkel kerana peluang seumpama itu sukar diperoleh di luar sana, selain melibatkan kos yang tinggi.


Selain menyatakan harapan agar bengkel tersebut mampu mengasah dan mengesan bakat-bakat besar dalam bidang pengacaraan majlis, serta sedia bertugas dalam pelbagai majlis nanti.


Beliau turut menyatakan rasa bangga atas pencapaian seorang pelajar di daerah Keningau, iaitu adik Avelly Juris, pelajar dari SMK Gunsanad II yang terlibat sebagai juruacara Pertandingan Nyanyian Irama Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023, yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Julai 2023 lalu.


Jaibet turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Keningau, dan juga kepada semua AJK pelaksana Program Perkampungan Bahasa BITARA Peringkat Daerah Keningau tahun 2023.


Program Perkampungan Bahasa BITARA merupakan program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Keningau.

Peserta dari 12 buah sekolah menengah dan 3 buah sekolah rendah bergambar bersama dengan Johari dan lain-lain dalam program itu


Perkampungan Bahasa BITARA dilaksanakan di bawah inisiatif #108 Permartabatan Pendidikan Bahasa Melayu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM 2013 – 2025).


Program itu juga selaras dengan hasrat KPM melahirkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) dan menyokong teras keempat daripada tujuh teras utama KPM iaitu keciciran pendidikan, masalah literasi dan merapatkan kesenjangan pendidikan yang menekankan konsep pembelajaran yang menyeronokkan di luar bilik darjah, dengan bermatlamat untuk meningkatkan keterampilan berbahasa murid melalui aktiviti kokurikulum.


Dalam program ini, sebanyak 12 buah sekolah menengah terlibat di daerah Keningau yang melibatkan seramai 48 orang murid dan 24 orang guru sekolah menengah dan 3 buah sekolah rendah terpilih yang melibatkan 6 orang murid dan 4 orang guru.


Dalam program tersebut, Sherard Elfrio Pranchis, dari SM St. Francis Xavier Keningau muncul sebagai Peserta Terbaik Lelaki manakala Nur Diyana binti Alfian, dari SMK Tulid Keningau muncul sebagai Peserta Terbaik Perempuan.


Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, PPD Keningau, Erce @ Etor bin Dius dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum dan Kesenian) SPM, PPD Keningau, S. Faddly bin Epor.
TAMAT





ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN