28 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 7, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

KPLB Sabah Akan Kemuka Input Pembangunan RMK-12 Kepada UPEN

OLEH: MARRYAN RAZAN

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan mengemukakan input pembangunan untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) kerajaan negeri kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) merangkumi program-program baharu dan program sedia ada.


 
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, bagi RMK-12 kerajaan persekutuan, KPLB Sabah telahpun mengemukakan kepada UPEN input daripada kementerian merangkumi enam program utama yang ingin diperkenalkan dan dilaksanakan oleh KPLB Sabah sepanjang tempoh RMK-12.


 
Bagaimanapun katanya, KPLB Sabah telahpun memulakan beberapa inisiatif atau program baharu menggunakan peruntukan pembangunan sedia ada di kementerian itu tanpa menunggu tahun pelaksanaan RMK-12.


 
“Kita perlu pro-aktif dalam menangani aspirasi rakyat, khususnya keperluan pembangunan yang kita lihat sendiri sepanjang program turun padang ke kampung-kampung terpencil selama ini,” katanya.


 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penutupan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-24, di Pacific Sutera Hotel, di sini, hari ini.


 
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Hj.Dumi Pg Masdal, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Aftar Nurajat, pegawai-pegawai kanan KPLB Sabah dan semua peserta persidangan.


 
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, antara inisiatif baharu yang diperkenalkan KPLB Sabah ialah Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA), Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) dan Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah di perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Kampung Sejahtera.


 
“Bagi program BALBA, kementerian bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMGM) untuk menerokai sumber air bawah tanah di kampung-kampung yang sering berhadapan dengan masalah bekalan air dan juga memperkenalkan inovasi rawatan bekalan air graviti.
 

“Program ini khusus untuk kampung yang berada jauh daripada capaian program retikulasi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS),” katanya.


 
Beliau berkata, program BELBA pula dilaksanakan dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan atau penyedia perkhidmatan bagi menerokai pembinaan mikro-hidro elektrik di kampung-kampung yang jauh daripada capaian sistem grid elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan tidak termasuk dalam program solar hibrid elektrik KPLB Persekutuan.


 
“Inovasi ini telah lama diperkenalkan di Sabah oleh badan bukan kerajaan dan saya berpendapat ianya boleh diperluaskan,” katanya.


 
Ewon berkata, KPLB Sabah telah memperuntukkan peruntukan awal sebanyak RM4 juta untuk kedua-dua Program BALBA dan BELBA menggunakan peruntukan pembangunan sedia ada.


 
“Ini merupakan manifesti keseriusan dan fokus KPLB Sabah dalam memainkan peranan secara pro-aktif bagi melaksanakan KPI yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Ewon bersalaman dengan pegawai-pegawai daerah yang menghadiri persidangan itu.


 
Mengenai Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah di perkampungan MESEJ dan Kampung Sejahtera, beliau berkata, ia telahpun dimulakan di MESEJ Tukar, Pitas dengan menggunakan peruntukan daripaa kerajaan negeri.


 
Ewon berkata, kementeriannya juga mengambil serius keperluan pembangunan infra asas dan ameniti sosial di kawasan pelancongan berasaskan komuniti di luar bandar.


 
“Selama ini, berlakunya “tarik-tali” kementerian mana yang perlu bertanggungjawab kepada keperluan naiktaraf jalan pelancongan, infra asas lain dan ameniti sosial seperti dewan, rumah rehat, jambatan, lorong pendakian dan sebagainya yang berkaitan.


 
“Sehubungan itu KPLB Sabah menggunakan peruntukan pembangunan sedia ada bagi membantu kampung-kampung ini, kerana saya percaya industri pelancongan luar bandar berasaskan komuniti perlu diperkasakan sebagai salah satu punca pendapatan penduduk kampung,” katanya.


 
Persidangan selama dua hari yang bermula kelmarin itu, bertemakan “Pembangunan Seimbang Mensejahterakan Luar Bandar” mencakupi visi KPLB Sabah, aspirasi rakyat Sabah dan wawasan Kerajaan Negeri.


 
Antara yang dibincangkan sepanjang persidangan itu ialah Perancangan Pembangunan Luar Bandar Sabah Dalam Konteks RMK-12; Program KPLB Persekutuan Ke Arah Memakmurkan Kesejahteraan Luar Bandar Negeri Sabah Dalam Konteks RMK-12; Dapatan Kajian Pelan Pembangunan Daerah Sebagai Penunjuk Arah Pembangunan Yang Holistik Di Kawasan Luar Bandar; dan Ke Arah Pendigitalan Kajian Dengan Prospektif Luar Bandar. –TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN