27 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KONSEP, ELEMEN DAN LIBAT URUS PIBG DALAM KONSEP ‘SEKOLAHKU SEJAHTERA’

MENDASARI Mesyuarat Profesional Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 2 Tahun 2022 bertarikh 11 Januari 2022, pihak kementerian telah memutuskan pelaksanaan konsep Sekolahku SEJAHTERA di semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sekolahku SEJAHTERA ialah satu konsep yang memayungi pelbagai tema, inisiatif dan program KPM yang berteraskan kepada penerapan nilai murni. Sekolahku SEJAHTERA diperkenalkan bagi mengukuhkan dan membudayakan penerapan nilai-nilai murni sedia ada di institusi pendidikan bawah KPM.

Matlamat pertama Sekolahku SEJAHTERA adalah untuk memastikan semua program di peringkat sekolah disatukan di bawah payung Sekolahku SEJAHTERA. Justeru, Sekolahku SEJAHTERA bukanlah suatu perkara baharu.

Kedua, kesinambungan daripada Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu memastikan bukan setakat cemerlang akademik tetapi seseorang pelajar harus seimbang dalam aspek JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Ketiga, kesinambungan daripada Pelan Induk Pendidikan Malaysia 2013-2025 di mana matlamat akhirnya ialah kemenjadian murid yakni melahirkan insan yang seimbang. Justeru itu konsep Sekolahku SEJAHTERA semuanya berpusat, bersumber dan akan berkembang di sekolah. Manakala guru berperanan sebagai penentu samada konsep ini berjaya dilaksanakan atau tidak. Paling penting ialah konsep Sekolahku SEJAHTERA diketahui, difahami, dihayati dan dibudayakan di sekolah masing-masing.

Demikian penjelasan ahli panel pertama, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Sains Sosial, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pandir Lodah (gambar kedua) ketika diajukan soalan tentang konsep Sekolahku SEJAHTERA oleh Pegawai SISC+, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Asman Saman (gambar pertama) selaku moderator forum sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Ranau yang berlangsung di Dewan Masyarakat, baru-baru ini.

Menjawab soalan moderator  tentang penekanan 3 elemen seperti yang terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA, ahli panel kedua iaitu Kaunselor Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Sulaiman Hj. Awang berkata  elemen selamat, seronok dan sihat sememangnya memberi fokus kepada golongan pelajar. Namun di samping pelajar, Sulaiman berpendapat adalah wajar mengambil kira elemen tersebut kepada kelompok guru.

Merujuk elemen ‘selamat’ sebagai contoh, Sulaiman berpendapat guru bukan setakat perlu selamat dari segi fizikal tetapi juga perlu dilihat dari perspektif satu sudut lagi iaitu psikologi kerana guru adalah ‘main power’ yang menentukan terlaksana atau gagalnya konsep Sekolahku SEJAHTERA.

“Bebanan tugasan guru yang bertindan dan ada ketika mereka juga perlu menyiapkan tugasan perkeranian (online) dalam tempoh singkat mampu menjadi penyebab seorang guru gagal mengawal kemurungan serta kemarahan mereka. Komplikasi jiwa guru sedemikian adalah antara penyumbang kepada ramai guru bersara lebih awal. Justeru itu elemen tersebut perlu ditekankan bukan sahaja di kalangan pelajar bahkan guru bagi mewujudkan kestabilan psikologi yang mempengaruhi cara mana ia bertingkah laku dan berfikir. Individu yang stabil dalam personaliti akan menghasilkan pemikiran dan tingkah laku yang positif,” jelas Sulaiman.

Sementara itu menurut Pengarah Urusan Syarikat Konoha Agrotech Sdn Bhd, Kundasang Aquafarm PLT & Midori Homestay Kundasang, Azizul Julirin, panel ketiga yang mewakili komuniti dan usahawan berkata peranan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan komuniti setempat tidak dapat dinafikan dalam membantu pihak sekolah merealisasikan konsep Sekolahku SEJAHTERA seperti yang disarankan oleh kementerian.

“Kunci utama ialah perlu ada ‘libat urus’ yang kukuh daripada Pengerusi PIBG dan komuniti bahkan pihak swasta kepada sekolah. Semua pemimpin dan ahli PIBG mempunyai peranan penting. Dalam konteks usahawan, pihak usahawan atau para peniaga boleh membantu sekolah dengan menawarkan sumbangan material atau dana bergantung kemampuan bagi menjayakan sesuatu program dan aktiviti berkaitan kemenjadian pelajar,” katanya.

“Sebagai contoh dalam pertanian, pihaknya boleh membantu mengadakan seminar dalam bentuk pendidikan tentang kaedah-kaedah pertanian moden, kempen kesedaran bertani, kursus mewujudkan taman berasaskan pertanian moden, jahitan dan motivasi. Pihak sekolah hendaklah memaklumkan lebih awal atau melibatkan secara langsung dari perancangan awal hinggalah kepada pelaksanaan,” jelas Azizul.

Asman ketika membuat rumusan forum merakamkan ucapan terimakasih kepada semua ahli panel. Beliau berkata semua perkongsian bukan sahaja bermanfaat dari segi ilmu tetapi yang lebih penting menzahirkan dan membudayakan konsep Sekolahku SEJAHTERA di sekolah masing-masing.

Sesi forum diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para ahli panel oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan (Menangung Kerja Pegawai Pendidikan Daerah), Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Foo Lee Yen.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN