28 C
Kota Kinabalu
Rabu, Februari 11, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Klinik Desa Merapok kini beroperasi sepenuhnya

GIMIK PERASMIAN… JAMES menandatangani plak sebagai gimik perasmian bangunan baharu Klinik Desa Merapok


SOOK: Klinik Desa Merapok dalam kawasan Dewan Undangan Negeri DUN Tulid kini beroperasi sepenuhnya dengan wajah baharu selepas melalui proses naik taraf bernilai hampir RM600,000 melalui peruntukkan kerajaan pusat.

Dengan siapnya Klinik Desa ini, ia akan memberi manfaat kepada kira-kira seramai 4,525 penduduk Kg Merapok dan 12 buah kampung sekitar.

Projek pembinaan klinik ini bermula pada 1 April 2024 itu siap sepenuhnya pada 26 Oktober tahun lalu dan mula beroperasi pada 15 Disember 2024.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib berkata, usaha tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan akses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti turut dinikmati oleh penduduk luar bandar.

Tambahnya, klinik tersebut bukan sahaja menyediakan rawatan asas, malah penting dalam penjagaan kesihatan ibu mengandung, kanak-kanak serta pemantauan kesihatan berkala komuniti setempat.

Beliau yang juga EXCO Kesihatan Negeri Sabah turut menyeru agar kemudahan itu dijaga dengan baik kerana ia merupakan aset komuniti yang amat bernilai.

Klinik ini terletak di Kg Merapok, dalam Mukim Seberang, kira-kira 18km dari Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau, melalui laluan Kg Magatang yang merentasi Sungai Kg Ambual.

Jarak klinik dari jalan utama dianggarkan sekitar 200 meter, dan klinik ini juga boleh diakses melalui Jalan Apin-Apin sejauh 29km ke Pekan Keningau.

Klinik Desa Merapok merupakan salah sebuah fasiliti kesihatani di bawah seliaan Klinik Kesihatan Apin-Apin dan ditadbir oleh Pejabat Kasihatan Kawasan Keningau.

Bangunan asal klinik ini telah dibina pada 25 Oktober 1965 dan pada awal operasinya dikendalikan oleh seorang anggota Jururawat Masyarakat.

Pada masa kini, Klinik Desa Merapok telah mengalami proses penaiktarafan dan bangunan baharu telah siap dibina pada Disember 2024.

Klinik ini kini dikendalikan oleh tiga orang anggota kesihatan yang terdiri daripada seorang Jururawat Terlatih, seorang Jururawat Masyarakat dan seorang Jururawat Masyarakat Kanan.

Kawasan operasi Klinik Desa Merapok mempunyai anggaran jumlah penduduk seramai 4,525 orang di mana majoriti penduduk merupakan petani yang mengusahakan tanaman seperti padi, getah, kelapa sawit, tembakau dan halia.

Sebahagian lagi bekerja dalam sektor swasta, sebagai penjawat awam, atau terlibat dalam aktiviti perniagaan kecil-kecilan seperti kedai runcit dan gerai makanan.

Komposisi etnik penduduk majoritinya terdiri daripada yang berbangsa Dusun (70%), Murut (28%), Melayu (1%) dan lain-lain (1%), manakala dari segi keagamaan, majoriti penduduk di sini beragama Kristian.

Turut hadir di majlis itu, Pembantu Menteri KPMKR merangkap ADUN N44 Tulid, Datuk Flovia Ng, Timbalan Setiausaha Tetap (Sektor Dasar dan Pengurusan) mewakili Setiausaha Tetap KPMKR, Henry Idol, Pakar Perubatan Perunding Kesihatan Awam yang menjalankan tugas Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Muhammad Bin Jikal, Pegawai Daerah Sook, Caroline Benjamin Jiungan, Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau, Dr Valentine Japulee Gantul, Ketua Polis Daerah Keningau, Superitendan Yampil Anak Garai dan lain-lain.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN