ADVERTISEMENTspot_img

Ketua Wiramuda Sindumin Kecam Ucapan ‘Murut Kafir’, Ingatkan Elak Isu 3R

Albert Andrew Kurus


SIPITANG: Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sipitang, Albert Andrew Kurus mengecam ucapan Datuk Seri Shafie Apdal yang menyentuh isu “Murut Kafir”, dengan menyifatkannya sebagai tidak wajar, tidak bertanggungjawab dan menyinggung perasaan masyarakat Murut di Sabah.


Albert yang juga anak jati Murut turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS), YB Datuk Rubin Balang, serta kenyataan media Persatuan Masyarakat Murut Sipitang (PMMS) yang lebih awal mengecam kenyataan berkenaan.


“Sebagai seorang pemimpin muda, saya menegaskan bahawa ucapan itu amat tidak wajar dan boleh menimbulkan rasa tersinggung dalam kalangan masyarakat Murut.


“Saya menyeru semua pemimpin politik agar lebih berhati-hati dalam ucapan dan tidak sekalikali menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) yang berpotensi mencetuskan perpecahan serta menjejaskan keharmonian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.


Albert berkata, politik yang matang seharusnya berlandaskan idea, dasar dan pembangunan rakyat, bukan dengan mengeluarkan kenyataan berunsur menghina mana-mana komuniti.


“Sebagai anak muda, kita ingin melihat politik yang mendidik, membina dan membawa manfaat, bukannya retorik yang mengguris hati masyarakat,” tambahnya.


Dalam pada itu, Albert turut menggesa Shafie agar bertanggungjawab di atas ucapannya dan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Murut yang jelas tersinggung dengan kenyataan tersebut.


“Ucapan itu bukan sahaja menjejaskan keharmonian, malah boleh mencalar hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sabah.


“Saya menyeru agar Datuk Seri Shafie Apdal segera memohon maaf kepada masyarakat Murut bagi meredakan keresahan yang telah timbul,” tegasnya.


Menurut Albert lagi, sebagai seorang pemimpin kanan yang pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan, Shafie seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan menjaga tutur kata ketika berucap di khalayak.


“Rakyat Sabah mengharapkan pemimpin yang matang, berhemah dan sentiasa menjaga sensitiviti semua kaum. Isu agama dan kaum bukan perkara main-main dan tidak boleh dijadikan bahan dalam ucapan politik,” katanya.


Albert menegaskan, masyarakat Murut khususnya di Sipitang mahu isu ini dipandang serius, dan tindakan sewajarnya diambil agar perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN