31 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 14, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah Meninggal Dunia

KOTA KINABALU: Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di sini akibat kegagalan fungsi buah pinggang serta jangkitan teruk pada paru-paru. Allahyarham berusia 66 tahun.

Berita pemergian tokoh politik itu disahkan anaknya, Naim Kurniawan, menerusi satu hantaran di Facebook yang memaklumkan bahawa ayahandanya, Moktar bin Radin, meninggal dunia pada 5 Disember 2025 bersamaan 14 Jamadilakhir 1447H, sambil memohon doa agar roh beliau dicucuri rahmat.

Suasana hiba turut menyelubungi pekarangan Hospital Gleneagles, apabila beberapa pemimpin UMNO Sabah dilihat hadir sejak awal pagi, termasuk Ketua Penerangan, Datuk Suhaimi Nasir, dan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin. Mereka mengesahkan bahawa jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dibawa pulang ke kediamannya di Damai.

Allahyarham Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, dimasukkan ke hospital beberapa hari lalu selepas mengalami komplikasi kesihatan serius. Pemergian beliau meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan seperjuangan dan warga politik Sabah yang mengenalinya sebagai seorang pemimpin lantang serta berpengaruh.

Jenazah dijangka dibawa pulang ke rumahnya sebelum urusan pengebumian dilaksanakan. Semoga Allah SWT menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan hamba-Nya yang beriman. Al-Fatihah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN