Robert (duduk tengah)mengabadikan gambar kenangan bersama Ketua-Ketua Kampung Mukim Bingkor.
KENINGAU:Ketua-Ketua Kampung yang diamanahkan sebagai pemegang adat perlu berintegriti semasa menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Ini ditekankan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin semasa mengadakan perjumpaan dengan seramai 20 orang Ketua dari Mukim Bingkor di Bilik Mesyuarat Pexaholic Cafe di Bandar Baharu Keningau kelmarin.
Perjumpaan siri kedua itu dihadiri oleh Ketua-Ketua Kampung dari Kampung Bingkor Baru, Bingkor Lama, Labak Awas-Awas, Linggawon, Labak Baru Kumawanan Baru, Kuangoh, Berungis, Singga Mata, Kg Tangkungon, Minansut, Tuntumulud, Buang Sayang, Pogun Antolob, Bunsit, Bandukan, Bandukan Baru, Sandapak, Kg Baru Dan Kg Lipasu/ Kamansi.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, kewajipan Ketua Kampung adalah melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang adat tempatan yang amanah dan berintegriti.
“Ketua Kampung adalah jentera kerajaan yang perlu membantu kerajaan memberikan layanan permasalahan penduduk khususnya berhubung kait dengan penguatkuasakan dan pelaksanaan Adat Anak Negeri yang termaktub dalam Enakmen Mahkamah Anak Negeri yang sedang berkuatkuasa.
Tegasnya, tindakan dan keputusan Ketua-Ketua Adat harus merujuk dan selari dengan Enakmen Mahkamah Anak Negeri.
“Jika Enakmen Mahkamah Anak Negeri dipatuhi, sudah tentu apa yang diputuskan tidak menimbulkan pertikaian oleh pihak-pihak tertentu” jelasnya.
Perjumpaan siri yang kedua selepas perjumpaan pertama bagi Mukim Tuarid Taud/Bandar turut dihadiri Ketua Daerah Bingkor OKK Daniel Palangi dan Ketua-Ketua Anak Negeri dan Wakil-Wakil Ketua Anak Negeri Mukim Bingkor.