Nelson
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Nelson W. Angang menegaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah asas kewujudan negara ini dan sebarang pandangan yang menolak kepentingannya dalam penentuan peruntukan kerusi Parlimen dianggap bercanggah dengan sejarah pembentukan Malaysia.
Beliau merujuk kenyataan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar, yang berpendapat pengagihan kerusi Parlimen tidak seharusnya berdasarkan MA63.
“Adakah beliau faham bahawa MA63 turut merangkumi laporan Suruhanjaya Cobbold dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang telah mendokumentasikan aspirasi serta kebimbangan rakyat Sabah dan Sarawak? Hakikatnya, perjanjian itu menjamin hak serta keistimewaan Sabah dan Sarawak tidak boleh digugat dengan kelebihan dua pertiga kerusi yang dimiliki Tanah Melayu ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad
Menurutnya, walaupun penduduk Sabah dan Sarawak jauh lebih kecil daripada Semenanjung ketika Malaysia dibentuk, saiz wilayah dan potensi kedua-dua negeri Borneo itu turut diambil kira.
Perkara itu jelas dalam formula asal pembahagian kerusi Parlimen yang memastikan tiada satu pihak mempunyai majoriti dua pertiga secara mutlak untuk meminda Perlembagaan Persekutuan tanpa persetujuan wilayah lain.
Beliau berkata keadaan mula berubah selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965 apabila kerusi Parlimen milik republik itu diagihkan semula kepada Semenanjung tanpa mengambil kira niat asal pengagihan ketika Malaysia ditubuhkan.
“Membaca pandangan sebegini daripada seorang bekas pegawai kanan kerajaan amat membimbangkan
“Malah, ia menunjukkan perlunya kesedaran lebih besar mengenai sejarah pembentukan Malaysia dalam kalangan penjawat awam persekutuan, khususnya mereka yang menasihati kerajaan dalam merangka dasar negara,” katanya.
Nelson turut menegaskan bahawa institusi seperti SPR sendiri wujud hasil daripada MA63, justeru sebarang kenyataan yang menafikan kepentingannya adalah tidak wajar.
Mengulas justifikasi Wan Ahmad bahawa jumlah pemilih perlu lebih kurang sama bagi setiap kerusi Parlimen, beliau menyifatkannya bercanggah dengan realiti semasa.
“Sebagai contoh, kerusi Parlimen Banggi mempunyai 311,499 pengundi pada 2023 berbanding Lenggong dengan hanya 36,950 pengundi, atau Padang Rengas dengan 38,686 pengundi. Bagaimana ini boleh dianggap ‘lebih kurang sama’?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan isu ketidakseimbangan jumlah pengundi antara kerusi Parlimen perlu ditangani terlebih dahulu sebelum menggunakan alasan tersebut untuk menolak formula 1/3 pembahagian kerusi sebagaimana termaktub dalam MA63.
“Saya amat berharap pandangan itu adalah pendapat peribadi dan bukan pendirian rasmi SPR
“Jawatankuasa Teknikal MA63 telah mengamanahkan suruhanjaya itu untuk meneliti tuntutan Sabah dan Sarawak serta mengemukakan syor agar hasrat dan niat asal perjanjian itu dihormati,” jelasnya.



