Kes baru di Kota Kinabalu dijangka naik mendadak, kata Masidi

Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Kes baru Covid-19 di Kota Kinabalu dijangka naik mendadak apabila keputusan ujian saringan di penempatan Telipok dan Kampung Numbak di sini diperolehi dalam masa terdekat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun.

Jurucakap rasmi Covid-19 kerajaan Sabah itu berkata, Jabatan Kesihatan negeri masih menjalankan saringan Covid-19 di 2 kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) itu yang mempunyai penduduk padat sekitar 21,000 orang.

MASIDI– Gambar fail

“Kota Kinabalu mencatat kes baru tertinggi Covid-19 hari ini dengan 109 kes daripada keseluruhan 346 kes di seluruh Sabah.

“Sebanyak 36.71% atau 127 kes bary dari Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan Kudat yang berpunca daripada saringan dibuat ke atas kontak rapat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi berkata, jumlah katil untuk merawat pesakit Covid-19 di Sabah masih mencukupi kerana hanya 36.09% daripada keseluruhan 6,576 katil digunakan.

“Kapasiti katil di hospital Covid-19 sebanyak 1,007 katil, sementara di pusat kuarantin dan rawatan berisiko sebanyak 5,569 katil.” -Bernama