Nizam
KOTA KINABALU: Sabah FC berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan bola sepak negeri apabila mara ke pentas akhir MFL Challenge Cup 2026, dengan perlawanan penentuan dijadual berlangsung pada 19 April ini di Stadium Likas.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan berkata pencapaian itu amat dinanti-nantikan penyokong selepas sekian lama Sabah tidak menjulang trofi dalam saingan liga tempatan.
Beliau berharap skuad Sang Badak mampu mencipta kejayaan sekali gus menamatkan penantian panjang untuk merangkul kejuaraan bola sepak Malaysia.
Perlawanan akhir dimainkan secara timbal balik dengan aksi pertama di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 4 April lalu berakhir 1-1, manakala aksi kedua yang menjadi penentu akan berlangsung di gelanggang sendiri.
Dalam usaha menyemarakkan sokongan, kerajaan negeri melalui kementerian berkenaan akan mengagihkan sebanyak 2,000 tiket percuma kepada penyokong secara “siapa cepat, dia dapat”.
Pengagihan tiket itu akan dilaksanakan oleh urusetia di Pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah pada Sabtu ini sebagai langkah memastikan stadium yang mampu menampung kira-kira 20,000 penonton dipenuhi.
“Ini adalah tanda sokongan kita untuk memastikan stadium dipenuhi dan memberi semangat kepada pasukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru penyokong hadir beramai-ramai bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan negeri.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dijangka hadir menyaksikan perlawanan akhir berkenaan sebagai simbol komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan bola sepak.
Kerajaan negeri juga, katanya, bersetuju mempertimbangkan pemberian bonus kepada pemain dan pegawai pasukan sekiranya Sabah FC berjaya muncul juara.
Mengulas isu ketiadaan perkampungan sukan seperti diumumkan kerajaan Persekutuan, beliau berkata kerajaan negeri menyokong pendekatan pemberian subsidi RM100 kepada atlet dan pegawai, selaras dengan langkah perbelanjaan berhemah dalam situasi ekonomi global mencabar.
Menurutnya, walaupun perbelanjaan dibuat secara sederhana, ia tidak akan menjejaskan semangat serta komitmen atlet untuk terus memberikan prestasi terbaik.



