PRODUK TEMPATAN….Dr Jochim (tiga dari kanan) memegang produk usahawan tempatan dalam pelancaran e-Dagang GoBiz, hari ini
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian akan sentiasa memberikan bantuan kepada semua usahawan tempatan yang berkecimpung dalam bidang perniagaan.
Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, kerajaan sedia membantu dan menyokong usahawan melalui penyediaan Platform Maya yang dikenali e-Dagang Go-Biz bagi menjadi pemangkin kepada usahawan tempatan untuk menceburi bidang perniagaan.
Dr Joachim juga menyatakan bahawa, Kementeriannya mengambil langkah membangunkan platform e-Dagang GoBiz ini untuk mendorong pemasaran produk buatan tempatan dan membantu usahawan Sabah memasarkan produk mereka tanpa sempadan sehingga ke peringkat global.
Melalui platfrom ini ia akan dapat menambah jualan mereka serta dapat mengurangkan beban dan kos pembiayaan mereka semasa di Pandemik Covid -19 ini.
Kementerian Pembangunan Perindustrian sudah menerima lebih 500 permohonan penyertaan di seluruh Sabah. Setakat ini 1,000 produk telah dikenalpasti.
“Saya percaya dan yakin ramai usahawan-usahawan baru, mahupun yang lama, akan menyertai program ini dan mendapat banyak manfaat daripada platform ini”, katanya dalam ucapan Pelancaran Platform E-Dagang GoBiz.
GoBiz adalah salah satu servis yang terdapat dalam Aplikasi GoNet yang boleh didapati didalam Apps store dan Google play.
“Sudah pasti kita akan menghadapi banyak lagi cabaran lain, antaranya adalah seperti risiko kualiti produk-produk yang dijual yang tidak memuaskan hati, masalah-masalah teknikal, cabaran berkomunikasi diantara penjual dan pembeli, dan sebagainya. Apa jua pun masalah dan cabaran yang bakal dihadapi, pihak kerajaan dan pemaju GoNet bersedia untuk mencari jalan penyelesaiannya secepat mungkin demi memastikan kualiti aplikasi ini dijaga.”
Ends