Gambar atas ( Keadaan jalan Tarawas – Karagasanyang berhabuk ketika musim kemarau dan becak dan licin ketika musim hujan dan Gambar bawah: Keadaan jalan Kauluan – Pinausuk yang semakin uzur
RANAU: Perkembangan yang memberangsangkan sedang berlaku di peringkat kerajaan berkenaan penaiktarafan tiga jalan utama yang diketengahkan berulang kali sejak kebelakangan ini.
Timbalan Menteri II Kementerian Dalam Negeri (KDN) merangkap Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin berkata kerajaan sudah memberikan komitmen kewangan kepada tiga jalan berkenaan dan ini adalah satu perkembangan yang sangat positif terutama kepada para penduduk di sini.
Jonathan Yasin…Ahli Parlimen Ranau
“Untuk Jalan Tarawas – Karagasan, tahun ini kerajaan telah memberikan peruntukan bernilai RM1 juta sebagai kerja awal. Saya percaya ini lebih merupakan laporan perunding, kerana mereka memerlukan perincian jalan yang akan dibina.
“Antara perincian yang berkenaan termasuk spesifikasi jalan, rumah yang terjejas dan seumpamanya, perlu disiapkan terlebih dahulu.
“Untuk Jalan Kauluan – Pinausuk, kerajaan Persekutuan telah memberikan peruntukan bernilai RM1.5 juta untuk tujuan serupa tahun ini,” ujar beliau.
Sementara untuk, tambah Jonathan, bagi penaiktarafan Jalan Mansalu, Kerajaan Persekutuan telah memberikan dana RM100,000, tetapi tujuan utama untuk peruntukan jumlah ini masih belum dipastikan.
Walaupun begitu, katanya, semua perkembangan baru ini sangat positif, “Kerana sekarang kita tahu ketiga-tiga jalan tersebut sudah disenaraikan dan apabila komitmen kewangan telah dimulakan ini menandakan ketiga-tiga ini telah menjadi projek berterusan yang akan diselesaikan oleh kerajaan.”
Jonathan mengatakan ini tentunya merupakan berita baik terutama bagi penduduk di sini yang jelas sangat terdesak untuk menerima pembangunan yang sudah lama dinanti.