23 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 9, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Persekutuan lulus 77 projek bernilai lebih RM72 juta untuk pembangunan pelancongan di Sabah

Khairul dan lain-lain memerhatikan penandatanganan Dokumen Penyerahan di antara Josie dan Shaharuddin


RANAU: Sejak bermulanya Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah meluluskan 77 projek pembangunan di Sabah yang berjumlah lebih RM72 juta.


Timbalan Menteri MOTAC, Datuk Khairul Firdaus Bin Akbar Khan berkata, salah satu projek tersebut ialah Projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan Kawasan Layang-Layang, Gunung Kinabalu.


Menurut beliau, empat lagi projek utama sedang berjalan meliputi kawasan-kawasan di Kinabatangan, Lok Kawi, Sipadan dan Manukan.


“Semua ini menzahirkan komitmen kerajaan untuk memastikan Sabah berada di barisan hadapan dalam pelancongan lestari, sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan sosial seluruh rakyat,” katanya.


Khairul yang juga Ahli Parlimen bagi Batu Sapi berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyerahan Projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan Kawasan Layang-Layang, Gunung Kinabalu, Taman Kinabalu, Ranau, Sabah yang diadakan di Pusat Interpretasi, Taman Kinabalu pada hari Jumaat.


Beliau mengucapkan tahniah kepada Kemeterian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Negeri Sabah dan pihak Taman-Taman Sabah yang telah berjaya merealisasikan penganjuran program itu.


Beliau tirit mengucapkan syabas atas usaha dan inisiatif Taman-Taman Sabah selaku Pengurus Projek bagi projek ini yang diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Kesebelas (RP4, RMKe-11) dengan kos projek sejumlah RM13.8 juta.


“MOTAC turut ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak kontraktor dan pihak perunding atas usaha dan komitmen yang diberikan dalam menyiapkan projek ini.


“Sesungguhnya, projek yang telah dilaksanakan ini adalah bukti dan komitmen Kementerian dalam usaha memacu sektor pelancongan khususnya produk ekopelancongan sebagai pemangkin pertumbuhan sosio-ekonomi yang mapan.


“Di samping itu, ia bagi menjadikan Negeri Sabah suatu kawasan yang kekal lestari sebagai destinasi tumpuan utama para pelancong terutama bagi segmen ekopelancongan,” katanya.


Khairul percaya, projek ini dapat memberi impak signifikan bukan sahaja kepada penduduk di Negeri Sabah, bahkan kepada negara sendiri terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia pada 2026 nanti.


“MOTAC berharap, dengan siapnya projek ini akan dapat meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong domestik mahupun luar negara ke Negeri Sabah.


“Secara tidak langsung, ia bukan sahaja dapat merancakkan aktiviti pelancongan dan pendakian Gunung Kinabalu malah akan turut memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat seperti peniaga kedai makan dan penyedia tempat penginapan, serta memberi nilai tambah kepada pelbagai industri lain,” katanya.


Semwntara itu, katanya, sebagai Agensi Pemilik, Taman-Taman Sabah juga diseru untuk terus bekerjasama dengan penduduk setempat agar semua pihak dapat bersama-sama menjayakan produk pelancongan terbaru ini.


“Saya berharap Taman Taman Sabah dapat memastikan penyelenggaraan yang tekun serta pengurusan yang proaktif agar kemudahan ini akan terus mampu memberi nilai bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk generasi akan datang, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mengurus sumber secara berhemah dan berwawasan.


“Saya percaya pihak Taman-Taman Sabah mengambil berat akan kepentingan penyelenggaraan berkala ini dalam memastikan projek ini dapat beroperasi secara optimum untuk jangka masa panjang serta mampu mengelak dari berlakunya sebarang kemalangan,” katanya.


Dalam majlis itu, turut diadakan upacara penandatanganan Dokumen Penyerahan Projek di antara Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Josie Lai dengan Ketua Setiausaha, MOTAC, Dato’ Shaharuddin bin Abd Sohot.


Sementara itu, Josie berkata, kawasan Layang-Layang terletak di paras ketinggian 2,744 meter, di Kilometer 4 (KM4) Gunung Kinabalu dan biasanya pendaki akan sampai ke kawasan ini di antara jam dua belas (12.00) tengahari atau jam satu (1.00) petang.


“Sebelum adanya projek ini, kemudahan yang sedia ada amat terhad yang mana hanya sebuah pondok rehat terbuka yang hanya mampu menampung sekitar 10 orang dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.


“Manakala, pendaki lain pula terpaksa berlindung di kawasan terbuka, berhadapan dengan hujan dan suhu yang sejuk,” katanya.


Melihat kepada keperluan ini, tambahnya, Kementerian melalui Taman-Taman Sabah mengambil inisiatif merancang untuk membina kemudahan restoran dan penginapan di kawasan Layang-Layang ini.


Selain menjadi lokasi rehat dan menjamu selera, katanya, ianya menjadi alternatif untuk memanjangkan lagi tempoh menginap (length of stay) para pendaki di atas gunung.


Pelaksanaan Projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan Kawasan Layang-Layang, Gunung Kinabalu, Taman Kinabalu, Ranau, Sabah bermula pada bulan Disember 2020 dan berjaya siap dibina pada bulan September 2024.


Pelaksanaan projek di kawasan Gunung Kinabalu adalah berbeza berbanding projek-projek pembangunan lain kerana lokasinya yang berada pada altitud tinggi serta dalam kawasan sensitif alam sekitar yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.


Kedudukan geografi yang mencabar ini menuntut perancangan logistik yang lebih teliti; contohnya, penghantaran bahan binaan perlu dilakukan secara manual menggunakan porter, penggunaan kaedah pembinaan berimpak rendah, serta pematuhan ketat terhadap garis panduan pemuliharaan biodiversiti dan peraturan taman yang sedia ada.


Di samping itu, faktor cuaca yang tidak menentu; hujan dan berkabus mempengaruhi tempoh masa bekerja pihak kontraktor serta akses fizikal yang terhad iaitu tiada akses jalan biasa ke tapak projek.


Menurut Josie, faktor-faktor ini banyak mempengaruhi dan menyumbang kepada tempoh pelaksanaan, kelewatan dan tarikh siap projek ini.


“Kini, fasiliti baharu ini mampu menampung lebih 50 orang, lengkap dengan kemudahan restoran, penginapan, bilik rawatan, pusat kawalan dan kawasan pemeriksaan (check point).


“Saya percaya kemudahan-kemudahan ini bukan sahaja dapat meningkatkan keselesaan pendaki Gunung Kinabalu,malah menyokong pengurusan pelawat yang lebih sistematik serta memperkayakan lagi pengalaman pelancongan di Gunung Kinabalu,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN