APA KHABAR …. Jahid mengambil kesempatan beramah mesra bersama beberapa remaja wanita yang turut menjadi peserta kempen berkenaan.
TAMPARULI: Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf kegiatan amal yang diadakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) kepada masyarakat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, kerajaan Negeri memandang tinggi kerja-kerja kesukarelaan yang dilaksanakan oleh mana-mana NGO di negeri ini, yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Kanser, anjuran Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS), di perkarangan Surau Kampung Botung di sini pada Sabtu.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Botung, Florence Ho.
Katanya, PSKS selama ini telah mengabdikan diri mereka kepada masyarakat tanpa sebarang bayaran, dan ianya merupakan satu contoh terpuji.
Menurut Jahid, persatuan tersebut wajar dipuji kerana selama ini mereka telah menjalankan khidmat dengan menyampaikan informasi terkini dan pengetahuan mengenai penyakit Kanser kepada masyarakat tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.
“Tahniah juga kepada Lawrence sendiri, yang telah mendapat pengiktirafan dengan menerima kurniaan pingat Ahli Darjah Kinabalu (ADK) oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, baru-baru ini,” ujar beliau.
Justeru, mewakili pimpinan daerah dan pimpinan negeri, Jahid turut mengucapkan terima kasih kepada PSKS dan semua NGO yang selama ini telah bekerja secara sukarela kepada masyarakat.
“Hari ini, penduduk Kampung Botung sangat bertuah kerana daripada ribuan kampung di kawasan Tuaran, kampung mereka telah terpilih sebagai lokasi mengadakan kempen seperti ini,” katanya.
Pada majlis tersebut, Jahid turut meluluskan peruntukan bantuan sebanyak RM3,000 kepada PSKS bagi membantu membiayai keperluan persatuan berkenaan.
Terdahulu, Presiden PSKS, Lawrence Imui, berkata, program berkenaan merupakan aktiviti pertama yang diadakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) baru-baru ini.
Katanya, sebagai Penasihat PSKS, sokongan yang diberi oleh Jahid kepada mereka merupakan suntikan semangat dan memberi inspirasi kepada persatuan itu terus berkhidmat kepada masyarakat.
Program Kesedaran Kanser itu dihadiri kira-kira 30 penduduk kampung, terdiri daripada golongan ibu bapa dan remaja wanita.



