KOTA KINABALU: Skim Bantuan Kesihatan SMJ ‘Sabah Sejahtera’ yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sabah akan memberi impak positif kepada ribuan pesakit buah pinggang di negeri ini, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib.
Menurut beliau, skim tersebut melibatkan inisiatif kerajaan memberikan subsidi dengan bayaran percuma kepada para pesakit buah pinggang yang menjalai hemodalisis.
“Skim ini merangkumi caj rawatan di klinik dan hospital serta rawatan kendiri di rumah (CAPD), yuran pendaftaran (RM1), caj rawatan (RM13), caj pusat dialysate (RM100) dan yuran pakar (RM5).
“Tempoh tanggungan skim ini adalah untuk l loltempoh setahun (bagi yuran) dan sehingga skim diberhentikan sekiranya diputuskan sebegini. Bagi mesin pula, tanggungan adalah untuk sekali sahaja,” kata beliau.
Dalam pada itu, katanya, lebih RM8.5 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri melalui KPMKR bagi menyediakan Skim Bantuan Kesihatan SMJ ‘Sabah Sejahtera’ itu.
James berkata, usaha tersebut termasuklah inisiatif terbaharu yang melibatkan bekalan 100 mesin hemodialisis di klinik dan hospital terpilih seluruh negeri.
Katanya, peruntukan yang disediakan untuk skim ini termasuk kategori kos rawatan berjumlah RM4,024,880 dan kos Mesin Hemodialisis sebanyak RM4,500,000, di mana jumlah keseluruhan ialah RM8,524,880.
“Usaha hebat ini juga dijalankan sebagai solusi jangka pendek bagi meringankan beban pesakit dan pemberi perkhidmatan selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.
“Kerajaan memahami dan prihatin terhadap penderitaan pesakit END-STAGE RENAL FAILURE (ESRF)yang tidakmendapatkan rawatan kerana kos rawatan yang tinggi.
“Justeru fasa pertama skim ini ditumpukan kepada pesakit dan perkhidmatan hemodialisis bagi seramai 1,385 pesakit di klinik dan 797 pesakit yang menjalani rawatan kendiri di rumah,” kata beliau.
James menambah, pelaksanaan skim ini akan memastikan kesejahteraan masyarakat dengan meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan kualiti hidup pesakit ESRF.
“Pelaksanaan skim ini adalah selaras dan memenuhi Teras Ke-2 Sabah Maju Jaya, iaitu ‘Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat Sabah,” jelas beliau.



