Joniston ketika berucap merasmikan majlis tersebut secara virtual.jpeg
RANAU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar (KEPKAS) sentiasa berusaha membangunkan infrastruktur berkaitan pelancongan dan juga kebudayaan komuniti serta perlindungan khazanah dalam memastikan semua ini dapat tumbuh dengan harmoni dan sesuai dengan dasar kerajaan.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata, dalam memastikan Tapak warisan Dunia Kinabalu ini terus dijaga dengan baik, kerajaan telahpun merestui Kawasan Kinabalu Geopark sebagai Geopark Kebangsaan dan sedang dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark yang dijangka akan berlaku pada tahun 2022.
“Program Geopark ini akan memberikan banyak peluang kepada komuniti terutama sekali peluang untuk meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pelancongan dan juga pengekalan budaya di daerah dan kawasan kampung yang terbabit.
”Dengan pengiktirafan ini, saya percaya ia mampu menarik minat rakyat dan pelancong asing untuk mengenali Tapak Warisan Dunia Kinabalu dan juga Kinabalu Geopark dengan lebih dekat seterusnya menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke negeri Sabah.
“Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu merupakan salah satu khazanah warisan negara yang tidak ternilai harganya. Adalah menjadi aspirasi kementerian ini untuk memajukan Tapak Warisan Dunia Kinabalu sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia dan membina jati diri komuniti berteraskan budaya dan warisan Negara,” kata beliau.
Joniston berkata demikian semasa melancarkan secara virtual, Sambutan Hari Komuniti Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu 2021 yang diadakan di Taman Kinabalu pada hari Khamis.
Menurutnya, kerajaan akan mempromosi Sambutan Hari Komuniti Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu di peringkat antarabangsa agar program seumpama ini menerima penyertaan Negara luar di masa akan datang.
Joniston berkata kementerian itu, bersama-sama jabatan dan agensi di bawahnya bertanggungjawab untuk mempromosikan program ini di peringkat antarabangsa.
”Kita juga akan merancang dengan teliti agar program seumpama ini menerima penyertaan Negara luar, dalam usaha kita mengangkat warisan Negara kita terus kukuh di mata dunia,” katanya.
Menurutnya lagi, program Sambutan ini diadakan antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada komuniti persekitaran Tapak Warisan Dunia Kinabalu untuk menjalankan aktiviti kebudayaan mereka selain daripada mempromosikan Tapak Warisan Dunia ini kepada seluruh masyarakat dalam dan luar negara.
“Sambutan hari Komuniti ini juga merupakan salah satu daripada acara tahunan yang dimasukkan dalam calender of event di bawah kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah.
Sementara itu, Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Bin Hj Lakim memuji usaha serta inisiatif pihak penganjur yang menjayakan majlis pelancaran tersebut secara hibrd iaitu secara kehadiran fizikal dan dalam talian.
Antara pengisian sambutan Hari Komuniti Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu pada tahun ini adalah upacara ‘Monolob’ oleh komuniti dari Kg Kiau dan Kg Bundu Tuhan dan “Kakakapan Id Gayo Ngaran” iaitu pendakian ke Gunung Kinabalu oleh anggota komuniti di sekitar Taman Kinabalu.
Menurutnya, acara sambutan tahun ini menjadi lebih bermakna memandangkan banyak aktiviti yang tidak dapat dilakukan pada tahun lalu disebabkan oleh Pandemic Covid-19.
Turut hadir secara fizikal dan virtual, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Sr Hj Mohd Yusrie Abdullah, Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Peter Lintar, Pegawai Daerah Ranau, Syahrin Samsir, Pegawai Daerah Ranau, Pegawai Daerah Kota Belud Hjh Dyanah Abdullah, Pegawai Daerah Kota Marudu Alexander Yong, Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib, Council Of Elders, Pemegang Taruh/Stakeholders Taman Kinabalu dan Peserta Ziarah 2021, para Pembentang daripada Jabatan Warisan Negara, Jabatan Mineral dan Geosains, Tapak Warisan Dunia Mulu Sarawak dan Taman-Taman Sabah, dan Ketua-ketua Jabatan/Wakil-wakil Jabatan dan Agensi.