SIMBOLIK…. Rithuan (tengah) memotong riben sibolik pelancaran Kempen E-Waste di Pengangkutan Awam (Teksi), sambil diperhatikan Amir (kiri) dan Osman.
LABUAN: Kempen Pengumpulan Buangan Barangan Elektrik dan Elektronik (E-Waste) bertujuan bagi memastikan alam sekitar dan keindahan Labuan terus terjamin dan terpelihara.
Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail ketika berucap melancarkan Kempen E-Waste Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Terminal Pengankutan Awam Teksi Labuan dekat Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Labuan, di sini, pada Selasa.
Jelas beliau, program yang dilaksanakan oleh Perbadanan Labuan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar itu juga bertujuan menyemai kesedaran awam untuk menjaga alam sekitar disamping memastikan sistem pengumpulan dan pembuangan barangan elektrik dan elektronik di pulau ini dijalankan dengan lebih konvensional dan selamat.
“Kerajaan memandang serius dalam memastikan E-Waste diuruskan secara selamat dan berkesan agar tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan rakyat, disamping memperolehi manfaat ekonomi, kerana sisa ini juga merupakan sumber berharga dan memberi peluang perniagaan sekiranya diurus dengan baik” katanya.
Rithuan berkata, kempen tersebut yang mendapat kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang telah melantik panel kontraktor untuk mengurus pengumpulan dan perlupusan barangan tersebut.
Hadir sama pada kempen tersebut Pengarah Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Labuan, Amir Hamzah Musa, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Rasil Hajatil dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran), Perbadanan Labuan, Datuk Osman Che Jusoh.