25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 12, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Kematian Zara Qairina: Bekas YDP PIBG seru siasatan telus dan perlindungan lebih baik untuk pelajar


KOTA KINABALU: Seorang ibu bapa yang juga bekas Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terpanggil menyuarakan keprihatinan berhubung insiden menyayat hati yang meragut nyawa seorang pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah baru-baru ini.

Aduka Jasnin Suman (gambar), yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, berkata kehilangan tragik itu perlu menjadi pengajaran buat semua pihak serta disiasat secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi.

“Saya menyeru agar kes ini disiasat dengan penuh ketelusan, tanpa melindungi sesiapa. Sekiranya wujud unsur jenayah, mereka yang terlibat harus diheret ke muka pengadilan dan dihukum sewajarnya

“Ini penting demi menegakkan keadilan bukan sahaja kepada arwah dan keluarganya, malah kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Beliau turut menegaskan bahawa keadilan bukan sekadar menjatuhkan hukuman, tetapi lebih penting lagi ialah memastikan kebenaran terbela dan sistem perlindungan pelajar ditambah baik.

Menurutnya, tragedi ini seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak, khususnya pentadbiran sekolah dan pihak berkuasa pendidikan agar tidak menyembunyikan insiden buli atau jenayah hanya semata-mata mahu menjaga nama baik institusi.

“Keselamatan dan kesejahteraan pelajar adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromikan,” katanya.


Sebagai bekas pemimpin PIBG, beliau turut mengingatkan para ibu bapa untuk sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak, lebih-lebih lagi yang tinggal di asrama, kerana tanggungjawab keibubapaan tidak terhenti pada penyediaan keperluan asas semata-mata.

“Anak-anak ke sekolah untuk belajar dan membina masa depan, bukan untuk membuli atau menjadi mangsa buli

“Jika kita mengesan kecenderungan anak menjadi pembuli, kita wajib bertindak segera sebelum perkara itu melarat dan memudaratkan orang lain,” gesanya.


Beliau juga menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pentadbir sekolah, masyarakat dan pihak berkuasa agar memainkan peranan secara aktif dan bertanggungjawab dalam memastikan insiden seumpama ini tidak berulang.

“Jangan biarkan pemergian arwah Zara Qairina menjadi sia-sia. Biarlah tragedi ini membuka mata dan hati kita untuk memperkukuh sistem perlindungan kepada anak-anak kita,” tambahnya.






ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN