ADVERTISEMENTspot_img

KBSS Komited Mempergiatkan Program Pembangunan Atlet

RASMI…Mansur (tengah) ketika melemparkan bola bagi menyempurnakan majlis tersebut.

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) sentiasa komited dalam mempergiatkan program pembangunan atlet negeri Sabah.

Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun berkata, langkah ini adalah antara langkah persediaan bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan datang.

“Pada masa ini KBSS giat bekerjasama dengan persatuan-persatuan sukan bagi menganjurkan klinik dan bengkel kejurulatihan, serta penyediaan infrastruktur sukan yang lebih kondusif.  

“KBSS juga sentiasa memastikan pembangunan sukan negeri terus dilaksanakan dengan beberapa program yang sudah dirancang dan akan dilaksanakan antaranya program pencarian bakat di peringkat akar umbi

“Selain itu, kita sedang mempergiatkan program pembangunan atlet secara menyeluruh, termasuk aspek psikologi dan nutrisi, bagi memastikan atlet-atlet kita berada pada tahap prestasi optimum” katanya semasa merasmikan Kejohanan Bola Jaring Piala Remaja 2025 di sini pada Sabtu.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Persatuan Bola Jaring Sabah atas inisiatif dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam meneruskan penganjuran kejohanan seumpama ini.

“Penyertaan daripada pelbagai peringkat umur dalam sesuatu kejohanan seperti bola jaring dapat membantu mencari bakat-bakat baharu sebagai pelapis bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA).

“Diharapkan semua pasukan yang bertanding memanfaatkan kejohanan untuk dijadikan medan bagi menguji kemahiran serta meningkatkan pengalaman, dan memperkukuh semangat kesukanan” katanya lagi.

Mansur juga menasihati para peserta agar menunjukkan semangat juang yang tinggi dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam bersukan.

Dalam kejohanan tersebut sebanyak 28 pasukan menyertai kejohanan itu yang melibatkan 16 pasukan bagi kategori bawah 20 tahun dan 12 pasukan bawah 12 tahun.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Sabah (SABANA), Chendramata Sinteh berkata kejohanan ini merupakan platform bagi mengenal pasti bakat-bakat pelapis bagi untuk pasukan bola jaring Negeri Sabah.

“Kerjasama bersama Jabatan Pendidikan sangat baik di dengan memberi tumpuan kepada pencarian bakat dari peringkat akar umbi, khususnya melalui sekolah-sekolah dalam memilih pelajar bagi kejohanan berprestij.

“Selain itu, Akademi Bola Jaring atau Akademi SABANA dijangkakan dibuka pada awal tahun depan bagi menyediakan tempat latihan yang lebih sistematik dan konsisten untuk menggilap bakat bola jaring” katanya lagi./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN