UNTUK INGATAN… Irwan (kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Harun di saksikan oleh Johan (tengah), Abdul Majit (kanan) dan yang lain.
OLEH: HJ MOHD AMIN HJ MUIN
DAN A.JALIL MADARIN
PITAS: Presiden Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS) Datuk Haji Harun Haji Ismail menyarankan Pengelola Kelas Bimbingan Saudara Kita (KBSK) Daerah Pitas dan Matunggong agar memperbanyakkan kepelbagaian aktiviti KBSK di kedua dua buah daerah tersebut demi memperkasakan KBSK menarik perhatian kepada mereka yang sudah lama dan baru memeluk agama Islam untuk mendalami ilmu pengetahuan tentang agama Islam yang sebenarnya.
Katanya, Islam adalah agama yang terlalu mendapat perhatian dan cabaran bukan sahaja di negeri kita malah di seluruh dunia.
“Islam fobia yang dicipta oleh media barat terutama orang Yahudi melebalkan bahawa agama Islam itu penganas dan sebagainya,adalah cabaran bagi umat Islam menangkis tuduhan palsu ini,” tegas Harun
Beliau menambah sebenarnya mereka mahu mempengaruhi orang-orang Islam agar tidak berada di dalam agama kita yang suci lagi di redhai oleh Allah SWT mereka sebaliknya mahu memesong atau menyesatkan pemikiran umat Islam agar mempercayai ajaran yang mereka cipta.
Dalam hubungan ini beliau menasihatkan kepada pengelola KBSK sama ada di Pitas mahu pun Matunggong atau di mana sahaja di negeri ini agar memperkasakan lagi pembelajaran Kelas Bimbingan Saudara Kita agar para peserta atau pelajar kelas tersebut mampu mendalami ilmu pengetahuan agama Islam berlandaskan Al Quran dan Sunah Rasulullah SAW serta mencontohi bahawa Nabi Muhammad SAW adalah merupakan pemimpin yang terbaik yang wajib dicontohi.
Tambahnya, bukan soal didikan agama Islam yang perlu di pertingkatkan malah dari konsep perpaduan, keharmonian perlu di titik beratkan.
Beliau mengambil contoh di negara Jepun yang bukannya negara Islam akan tetapi didikan terhadap rakyatnya bermula dari anak-anak prasekolah lagi mereka membimbing agar mengutamakan kebersihan persekitaran yang mencerminkan bahawa negara Jepun bebas sampah dan bersih dari pelbagai sudut.
Katanya, walau pun Jepun bukan negara Islam tetapi kita boleh mencontohi negara tersebut dari sudut perpaduan, kebersihan dan keharmonian.

KENANGAN BERSAMA… Harun mengabadikan gambar kenangan bersama Pengelola dan para peserta.
” Di Sabah, kita mengambil contoh rumah ibadat seperti Masjid Tenghilan saya melihat persekitaran masjid tersebut sehingga ke bilik air dan tandasnya sangat bersih, di sediakan alas kaki untuk tetamu Allah dan ini juga mencerminkan bahawa kebersihan kita bermula dari rumah.
Beliau berkata masjid serta ke kawasan persekitaran yang menjadi pusat daya tarikan pelancong dalam dan luar negeri perlu sentiasa dan budaya menjaga kebersihan ini perlu diserapkan kesanubari keluarga dan rakan taulan kita yang lain.
Sehubungan itu, tegas Harun para peserta program hari ini dinasihatkan agar terus belajar dan jangan merasa segan atau malu walau pun ada diantara pelajar yang sudah berusia namun mendalami ilmu agama Islam itu faktor usia jangan dijadikan alasan untuk belajar.
Harun yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd merangkap Timbalan Ketua Bahagian PGRS Bahagian Pitas berkata demikian di Majlis Sambutan Ma’al Hijrah 1447 Hijrah bersamaan 2025 Masehi, Kolaborasi KBSK Pitas bersama KBSK Matunggong di Sekolah Kelas Bimbingan Saudara Kita, Al Amin Pitas dekat sini baru-baru ini.
Terdahulu Pengelola KBSK Matunggong Ustaz Irwan Syah Abdullah antara lain berkata, kemenjadian program ini terlaksana dengan jayanya adalah atas permuafakatan bersama Pengelola KBSK Pitas, Ustaz Johan yang berkongsi sokongan dan memperolehi sumbangan dana dari Datuk Haji Harun Haji Ismail yang amat bersetuju program seumpama ini dianjurkan serta diteruskan dari masa kesemasa dengan memperbanyakkan lagi akitivti yang menjurus kepada pendidikan agama Islam.
Beliau mewakili KBSK Matunggong mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengelola KBSK Pitas Ustaz Johan Haji Aminullah yang menjadi rakan seperjuangan dalam melaksanakan program balas dari KBSK Matunggong ke KBSK Pitas.
Katanya lagi, tanpa adanya kesepakatan seperti ini sudah pasti program murni ini yang dihadiri oleh seramai 40 orang peserta dari KBSK Pitas dan 22 orang dari KBSK Matunggong tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Di majlis tersebut beberapa aktiviti untuk para peserta di pertandingkan sebagai jalinan tali persaudaraan diantara pelajar KBSK Matunggong dan KBSK Pitas seperti pertandingan menganyam pelbagai jenis ketupat, pertandingan boling kelapa dan banyak lagi kesemua pemenang masing-masing membawa balik hadiah berupa hamper.
Turut memeriahkan majlis dua buah kumpulan nasyid dari KBSK Pitas dan KBSK Matunggong masing-masing mempersembahkan nasyid mereka.
Hadir sama, Pengelola KBSK Pitas Ustaz Johan Haji Aminullah, Ketua Peserta Puan Fatimah Abdullah, Pegawai Khas kepada Datuk Harun, Abdul Majit@Man Tarip bersama warga kerja Datuk Harun serta pemimpin komuniti yang lain.



