Gambar – Majus Munsing, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau
OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU : Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80, adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun, seperti dinyatakan Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin, baru-baru ini.
Pada masa sama, Dr.Radzi juga menjelaskan, pencapaian SPM calon luar bandar adalah lebih baik berbanding calon di bandar.
Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Majus Munsing, berkata bagi dari Ranau, Keputusan SPM 2020 juga amat memberangsangkan apabila Gred Purata Daerah (GPD) telah meningkat kepada 5.10 berbanding 5.27 pada tahun 2019.
Selain itu katanya, SPM tahun 2020 juga turut meningkat dari segi peratus Mendapat Sijil iaitu 88.83% pada tahun 2019 kepada 92.57% pada tahun 2020.
“Dalam mencapai kecemerlangan ini, pelajar telah menggunakan pelbagai kaedah dan bahan seperti menggunakan Buku Teks, modul dan sudah pasti menggunakan kaedah pembelajaran secara dalam talian.
“Bagi pelajar yang tidak mempunyai kemudahan telefon digital dan liputan internet yang tidak baik sudah tentu menghadapi cabaran yang tinggi.
“Kebijaksanaan pentadbir sekolah, usaha murid dan komuniti menjadi pemangkin kepada kejayaan yang dirai kini,” katanya kepada media ketika diminta mengulas pencapaian luar biasa SPM 2020 khususnya calon luar bandar.
Menurut Majus, sekolah-sekolah telah menggunakan kaedah ‘Pondok Transit’ sebagai salah satu kaedah penyampaian modul-modul. Ibu bapa mengambil bahan tersebut mengikut SOP yang telah ditetapkan.
Selain itu jelasnya, terdapat juga sekolah yang berinisiatif menghantar tugasan-tugasan dari rumah ke rumah terutama di sekolah-sekolah yang jauh dari sekolah dan kekangan ibu bapa yang tidak mempunyai kemudahan kenderaan.
“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut melaksanakan ‘Tabung Reload’. Penderma dalam kalangan warga pendidik dan seluruh komuniti di daerah Ranau. Hasil kutipan derma telah diserahkan kepada pelajar yang telah dikenal pasti untuk meringankan beban serta memastikan mereka terus dapat mencapai internet.
“Berdasarkan pemantauan di sekolah-sekolah, kita mendapati ada pelajar yang sanggup menaiki bukit dan kebun demi mendapatkan talian internet ketika melaksanakan PdPR.
“Beratapkan langit, berdindingkan alam dan bertemankan sang nyamuk. Inilah yang beliau turut rasai ketika berada di lokasi segelitir pelajar melaksanakan PdP (atas bukit),” katanya sambil menyifatkan situasi luar biasa itu adalah antara faktor yang mempangaruh GPD SPM 2020 melonjak.
Sehubungan itu, Majus selaku Pegawai Pendidikan Daerah Ranau mengucapkan tahniah dan sekalung penghargaan kepada semua pelajar SPM daerah Ranau atas usaha murni yang telah mereka lakukan untuk SPM.
Katanya, walaupun dalam keadaan pendemik Covid-19 mereka tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan demi kecemerlangan.
Beliau amat bersyukur atas pencapaian itu yang pastinya membanggakan semua pihak termasuk ibu bapa pelajar dan warga pendidik di daerah ini.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan untuk barisan kepimpinan sekolah dan guru-guru atas komitmen yang telah mereka lakukan sepanjang tahun 2020.
“Ucapan penghargaan turut saya ditujukan kepada para ibu bapa dan keluraga yang telah memberi sokongan, bantuan, kemudahan pembelajaran serta menjaga anak-anak mereka ketika sesi PdPR dilaksanakan. Mereka adalah guru nombor dua kepada pelajar. Beliau percaya segala usaha yang berterusan telah membuahkan hasil kecemerlangan ini,” katanya.
Sebagai pemimpin pendidikan nombor satu di daerah Ranau, PPD juga mengucapkaan jutaan terima kasih kepada pimpinan masyarakat, agensi kerajaan, NGO dan sebagainya kerana telah banyak membantu keluarga pelajar yang terlibat. Mereka telah memberi sumbangan makanan, peralatan alat tulis, membina ‘pondok on line’ dan sumbangan berupa ‘reload’.
Beliau berkata, sumbangan-sumbangan ini bukan sahaja meringankan beban tetapi telah menyuntik motivasi dalam kalangan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka terus meningkatkan usaha dalam menghadapi SPM 2020.
“PPD Ranau yakin bahawa semua pihak telah berganding bahu dan seiring langkah serta berusaha secara luar biasa demi memastikan persiapan pelajar menduduki peperiksaan SPM yang berkesan.
“Selain itu, mencapai hasil yang lebih baik, sesuai dengan slogan Ranau Hebat, Tahun Ini Pasti Lebih Baik, Mari Kerja Bersama,” tambah Majus.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) menyifatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 adalah peperiksaan yang paling mencabar dalam sejarah pelaksanaannya. –Borneo Daily Bulletin