Samdin (depan lima kanan) menyampaikan cenderahati kepada Datuk Jonathan diperhatikan anggota rombongan JKPD dan Staf pejabat Parlimen Ranau.
RANAU: Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) daerah Ranau serius untuk menangani gejala penagihan dadah dikalangan belia di daerah berkenan.
Dengan sebab itu Jawatankuasanya telah merancang untuk menganjurkan pelbagai program sepanjang tahun 2022.
Objektifnya adalah untuk pemulihan serta memberi kesedaran kepada golongan belia agar memahami gejala negatif yang menimpa diri jika terlibat dengan penagihan najis dadah.
Pengerusi JKPD daerah Ranau, Samdin Bin Rijin berkata, banyak program yang telah dirancang lebih awal tetapi tertangguh berikutan pandemik Covid-19 yang berlaku sejak dua tahun lalu.
“Disebabkan pandemik itulah segala perancangan yang telah disusun atur lebih awal tidak dapat dijalankan”, jelas Samdin ketika ditemui selepas mengadakan Kunjungan Hormat kepada Timbalan Menteri II, Kementerian Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin di bilik mesyuarat Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau baru-baru ini.
Menurut Samdin, antara program yang telah dirancang ialah, menganjurkan aktiviti sukan dengan memfokuskan para belia yang pernah terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah, Sesi Ceramah Kesedaran, Pameran, Ceramah Motivasi masyarakat setempat yang tarikh dan lokasinya akan dikenalpasti kemudian.
“Semua program yang bakal dilaksanakan itu akan melibatkan masyarakat khususnya individu yang dikenalpasti pernah terlibat dengan penagihan najis dadah”, tegas Samdin sambil memohon sokongan daripada Datuk Jonathan untuk menjayakan program yang bakal dijalankan kelak.
“Pihak JKPD juga memohon sokongan daripada Datuk Jonathan untuk mendapatkan tapak bagi membina pejabat khas JKPD demi keselesaan menganjurkan program pendidikan pemulihan kepada individu atau kumpulan yang terlibat dengan gejala penagihan dadah.
Sementara itu, Datuk Jonathan ketika memberi reaksi positif terhadap rancangan JKPD itu, turut mengharapkan kepada Jawatankuasa berkenaan agar sentiasa bergerak aktif melaksanakam aktiviti yang dirancang sebagai benteng diri para belia-beliawanis menghindarkan diri daripada tejebak dengan apa juga kegiatan yang boleh merosakkan masa depan.
“Saya amat menyokong penuh program yang dirancang moga mencapai kejayaan.
“Walaupun kes penagihan najis dadah masih masih terkawal di Ranau namun, kesiap-siagaan pihak JKPD bagi memantau dari masa ke semasa adalah amat penting.
“Kita amat menyokong segala perancagan yang telah dibuat dan saya sedia bekerjasama “, tambah Datuk Jonathan.