KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Mohd Ishak Ayub, menegaskan komitmen memperkukuh peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai barisan hadapan penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam Sesi 1 Program Ucaptama dan Taklimat Peruntukan Wakil Rakyat (PWR) serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) bagi kawasan N.40 Bingkor, di sini, hari ini.
Program tersebut menghimpunkan Pengerusi-Pengerusi JKKK dari Mukim Bingkor, Mukim Tuntumulud dan Mukim Tuarid Taud/Bandar dengan fokus kepada penyelarasan tatacara permohonan, pelaksanaan serta pemantauan projek agar lebih sistematik, telus dan berimpak tinggi kepada rakyat.
Menurut beliau, JKKK memainkan peranan strategik sebagai penghubung utama antara kerajaan dan komuniti dalam mengenal pasti keperluan sebenar di peringkat akar umbi, khususnya melibatkan kemudahan asas, kebajikan dan projek pembangunan kecil luar bandar.
“Peruntukan yang disalurkan mesti sampai kepada golongan sasar. Penyelarasan yang kemas akan mengelakkan pertindihan permohonan, kelewatan pelaksanaan serta memastikan setiap perbelanjaan memberi pulangan manfaat yang jelas kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama.
Taklimat PWR memberi penekanan terhadap keperluan dokumentasi lengkap, pematuhan garis masa kelulusan dan pelaporan berkala, manakala pihak UPPM memperincikan mekanisme pemantauan serta penyelarasan projek supaya pelaksanaan berjalan mengikut perancangan dan spesifikasi ditetapkan.
Hadir sama ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat PPM Bingkor, Lectus Fung, Pegawai Khas ADUN Bingkor, Alexius Tingadon, Pegawai di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan wakil penyelaras pembangunan setempat bersama barisan Pengerusi JKKK seluruh N.40 Bingkor.
Beliau turut menggesa agar komunikasi dua hala antara JKKK, UPPM dan Pejabat ADUN diperkasa bagi mempercepat penyelesaian isu rakyat serta memperkemas sistem penyampaian di peringkat kampung.
Sementara itu, Sesi 2 program sama juga turut diadakan melibatkan Pengerusi-Pengerusi JKKK dari Mukim Merampong/Bunga Raya dan Mukim Apin-Apin.
Program tersebut mencerminkan usaha berterusan kepimpinan DUN Bingkor dalam memperkasa institusi kampung sebagai nadi pembangunan luar bandar melalui pendekatan pentadbiran yang lebih tersusun, berakauntabiliti dan berfokus kepada hasil.



