Aron Imbayan (kanan) bersama Dr.Jeffery
KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, terus menerima sokongan terbuka daripada kepimpinan muda parti itu susulan pendirian tegasnya memperjuangkan hak rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17.
Naib Ketua EXCO Wiramuda STAR merangkap Ketua Wiramuda N20 Api-Api, Aron Imbayan, dalam satu kenyataan menyatakan komitmen penuh untuk berdiri bersama Presiden STAR itu, yang disifatkannya sebagai tokoh politik yang konsisten mempertahankan kepentingan negeri tanpa tunduk kepada tekanan luar.
Katanya, perjuangan Jeffrey bukan bermula sehari dua, sebaliknya hasil komitmen puluhan tahun terhadap isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hasil bumi Sabah, hak tanah serta tuntutan autonomi yang sekian lama menjadi aspirasi rakyat.
“Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan bukan sekadar bercakap, beliau membuktikan perjuangannya melalui tindakan berani termasuk keputusan meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi mendahulukan suara rakyat,” katanya.
Menurut Aron, langkah Presiden STAR itu keluar daripada GRS adalah isyarat jelas bahawa beliau tidak bersedia berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menekan hak Sabah.
Beliau berkata keputusan STAR untuk bertanding menggunakan bendera sendiri pada PRN akan datang membuktikan parti itu tidak dikawal mana-mana kuasa luar serta berpegang kepada prinsip memperjuangkan Sabah dengan acuan sendiri.
“Keputusan ini menunjukkan perjuangan untuk Sabah mesti dipimpin oleh anak Sabah tanpa pengaruh pihak luar yang tidak memahami denyut nadi rakyat negeri ini,” katanya.
Aron turut menyifatkan Jeffrey sebagai pemimpin berprinsip dalam suasana politik yang sering dibayangi kepentingan peribadi dan kompromi.
“Saya menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan beliau. Selagi Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan memperjuangkan hak rakyat Sabah, saya akan terus berdiri bersamanya,” tegasnya.
Beliau menyifatkan perjuangan itu bukan sekadar politik tetapi soal maruah rakyat Sabah yang tidak boleh digugat.
Aron menutup kenyataan dengan peringatan bahawa keberanian politik harus diterjemah melalui tindakan, bukan retorik semata-mata: “Kalau takut, jangan berani-berani. Kalau berani, jangan takut-takut.”



