JENAZAH ibu Datuk Bashir sebelum di bawa ketanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Labu, pagi Sabtu.
LABUAN Jenazah ibu Ahli Dewan Negera, Senator Datuk Bashir Alias, Hajah Alipah Idris selamat dikebumikan  di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Labu, di sini sekitar jam 11 pagi Sabtu.
Jenazah Allahyarhamah tiba di tanah perkuburan itu kira-kira 10.45 pagi selepas disolatkan di kediamanya di Kampung Sungai Labu pada 10.15 pagi.
Pengebumian itu hanya dihadiri ahli keluarga serta kenalan rapat Allahyarhamah atas permintaan keluarganya yang memohon orang ramai agar tidak menghadiri upacara itu bagi mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang berkuat kuasa sekarang.
Allahyarhamah Hajah Alipah 76, meninggal dunia di Hospital Nukleus Labuan pada jam 6 petang Jumaat akibat serangan sakit kronik sejak lima bulan yang lalu.
Allahyarhamah meninggalkan empat orang anak dua lelaki dan dua perempuan serta 19 cucu.
Mengiringi jenazah keempat-empat anaknya yang terdiri daripada Datin Seri Panglima Nuinda Haji Alias dan suami Datuk Seri Panglima Safar Untong, Garip@ Samad Haji Alias, Senator Datuk Bashir Alias dan Rohani Alias.
Hadir sama, Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Rozman Isli, Yang Di Pertua Parti PAS Kawasan Wilayah Persekutuan Labuan, Haji Hamir Zahari, Timbalan Ketua Umno Bahagian Labuan, Datuk Khalid Ab. Ghani dan Ketua Wanita Umno Bahagian, Hajah Niswati Tarji.