SUGUT: Pengundi muda perlu berani menyatakan teguran membina kepada pihak kerajaan sekiranya terdapat cadangan penambahbaikan yang boleh memberi manfaat besar untuk keperluan rakyat.
Datuk James Ratib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut berkata, aspirasi pengundi muda khasnya mereka yang dikategorikan sebagai pengundi 18 tahun keatas mampu membantu merealisasikan visi dan misi kerajaan menerusi pandangan bernas mereka.
“Pengundi muda memiliki idea baharu yang seiring dengan citarasa dan peredaran zaman masyarakat. Golongan ini perlu berani memberikan teguran secara membina kepada kerajaan untuk sama-sama membangunkan negeri kita”. Jelas James dalam satu wawancara khas dikediamannya pada Sabtu.
Tegas beliau, keputusan kerajaan untuk membenarkan pengundi muda seawal usia 18 tahun keatas untuk menjadi sebahagian dari pengundi pada Pilihanraya Umum akan datang adalah tepat dan perlu dimanafaatkan.
Katanya, golongan itu bukan sahaja boleh merubah landskap politik negara bahkan menjadi nadi kepada ‘Semak dan Imbang’ pentadbiran sesebuah kerajaan pemerintah.
“Saya yakin golongan pengundi muda merupakan individu yang cintakan permodenan. Idea-idea mereka jangan diketepikan sebaliknya didengar dengan teliti oleh kerajaan semasa”. Katanya.
James yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah menjelaskan, medium media sosial perlu dimanafaatkan secara beretika oleh golongan pengundi muda untuk membahaskan isu-isu yang ada kepentingan dengan kemajuan negeri, negara dan masyarakat.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar satu laman khas media sosial dibangunkan oleh kerajaan bagi memberikan ruang kepada pengundi muda menyatakan aspirasi mereka.
Jelasnya, segala curahan idea yang dikemukakan perlu ditapis oleh pihak berwajib untuk diangkat kepengetahuan ketua kerajaan sebagai panduan untuk dilaksanakan.
“Jangan abaikan pandangan mereka. Mungkin dikalangan pengundi muda itu ada yang pakar dalam bidang seni lukis plan, landskap, pengusaha pelancongan, perladangan mahupun perniagaan”. Jelasnya lagi.
James turut mengalu-alukan sebarang idea berkenaan pembangunan pertanian dan perikanan moden dari golongan itu.
Beliau berkata, sistem pertanian dan perikanan yang ada ketika ini mungkin boleh dinaiktaraf kearah lebih canggih lagi dengan adanya sumbangan idea baru dari golongan muda-mudi.
“Tidak ada salahnya untuk mereka tampil berjumpa dengan pihak kementerian dan menyatakan idea mereka sama ada secara bertulis atau penerangan secara bersemuka”. Katanya.
Pendaftaran secara automatik pemilih berusia 18 tahun ke atas sudah diwartakan dan berkuat kuasa 15 Disember ini.
Pindaan Perlembagaan yang diwartakan pada 25 November lalu itu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menetapkan tarikh 15 Disember sebagai tarikh mula berkuat kuasa.