TAMPARULI: Keyakinan dan kefahaman masyarakat Tamparuli tentang peri mustahaknya suntikan vaksin, merupakan satu perkembangan yang amat baik.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, beliau gembira dengan sambutan positif warga Tamparuli atas program vaksinasi yang diadakan di kawasan itu, yang bukan sahaja baik untuk Tamparuli, tetapi juga baik untuk Sabah.
“Saya berasa teruja dan tersentuh atas sambutan positif warga Tamparuli mutakhir ini atas sokongan dan kesedaran mereka mengenai pentingnya vaksinasi ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Program Jangkauan Luar Vaksinasi Dos Kedua di Klinik Kesihatan Tenghilan, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Tenghilan, Raisin Gagah, Penyelia Kemajuan Masyarakat Tamparuli, Boe Sindolun, dan beberapa pemimpin masyarakat lain.
“Kita tahu bahawa selain menjaga prosedur operasi standard (SOP), satu-satunya harapan kita untuk kembali kepada tahap wabak yang terkawal adalah melalui program vaksinasi, jadi saya harap tidak ada yang melepaskan peluang ini,” katanya.
Sementara itu, seorang nenek berusia 101 tahun, yang turut hadir menjalani vaksinasi dos kedua di klinik tersebut hari ini, diharap menjadi pencetus semangat penduduk dari seluruh pelusuk daerah kecil itu untuk menerima suntikan vaksin.
“Kita jadikan nenek Kagus Longguan, yang berusia 101 tahun, sebagai contoh terbaik bahawa umur bukan penghalang untuk mendapatkan vaksinasi,” katanya.
Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, memberitahu, hasil tinjauannya mendapati, program itu diurus dengan cekap, dan pastinya membantu meningkatkan kadar vaksinasi hingga ke peringkat akar umbi.
Program tersebut hari ini, menyaksikan sebanyak 500 suntikan vaksin dos kedua diberi kepada penduduk Tenghilan dan sekitarnya.