Guru SK Lubuk Temiang dan SK Membedai bergambar bersama Awang Marten dan tetamu lain.
LABUAN: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) sentiasa menyokong usaha pihak sekolah untuk memastikan murid menguasai kemahiran 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.
Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Awang Marten Datuk Haji Abdul Rahman berkata antara program yang dilaksanakan pihak sekolah ialah Program Ikon PLaN (Literasi & Numerasi).
Katanya, Program Ikon PLaN merupakan satu program yang mencungkil bakat dan potensi murid yang belum menguasai kemahiran 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul pelbagai aktiviti ilmiah menarik dan menyeronokkan.
“Ia juga bertujuan mengasah daya kreativiti murid bagi memastikan aktiviti lebih menarik dan efektif,”katanya.
Beliau yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Haji Abidin Marjan berucap merasmikan Program Ikon PLaN Sekolah Kebangsaan Lubuk Temiang (SKLT) 3.0 2023 yang diadakan di Taman Burung Labuan, baru-baru ini.
Pemenang individu bersama Awang Marten (tengah), Durasad (tiga kiri) dan Mohd Dzulfaizal (tiga kanan).
Turut hadir Penolong Pengarah Unit TVET, Abdul Rizal Abd Rahim. Guru Besar SKLT, Durasad Edris. Yang DiPertua PIBG SKLT, Mohd Dzulfaizal Ab Manan, Pengurus Taman Burung Labuan, Fatmawati Muhamad Puzi, Guru Besar SK
Membedai, Mohamed Al Ghaffar Mohamed Maiden dan Penolong-penolong Kanan.
Program itu dikendalikan Penyelaras Program, Cikgu Zunikah Amboh Turuh dan Penyelaras Pemulihan Khas, Cikgu Norhasiken Mohd Dahli.
Ia merupakan hasil kerjasama Unit Pemulihan Khas dengan Panitia Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Agama Islam dan Moral, Sains, Pendidikan Seni Visual, PIBG SK Lubok Temiang serta Taman Burung Labuan.
Pelbagai aktiviti diadakan untuk meningkatkan kemahiran 4M dan menaikkan prestasi murid-murid Pemulihan Khas dan murid-murid PLaN.
Seramai 49 murid iaitu 35 murid dan 43 guru SK Lubok Temiang menjayakan program itu.
Manakala 14 murid dan 5 guru SK Membedai dijemput menyertai program yang bermula pukul 7 pagi hingga 1 petang.
Pada program itu, Ikon PLaN Literasi 3.0 2023 dimenangi Nur Raudhah Mohd Saiful Azhar (2 Arif) manakala Ikon PLaN Numerasi 3.0 2023 disandang Muhammad Raziq Paizan (3 Arif).
Anugerah Ikon PLaN Sahsiah Diri dibawa pulang Nurul Huda Mohd Amin Yap (2 Arif) manakala Murid Jemputan Terbaik, Hazim Fayyadh Basar (SK Membedai).
Kumpulan Hijau yang diketuai Mentor, Muhammad Fakhrurrazi Mohd Najakhi muncul johan kumpulan.
Anugerah Mentor Terbaik dimenangi Ustaz Ahmad Lutfi Abdul Razak dari Kumpulan Kelabu.
Stesen 2 (Bahasa Inggeris) yang dikendalikan Cikgu Nurfadhilah Arifin dan Ustaz Mohd Nazri Datuk Haji Abdul Rahman muncul Stesen Terbaik.